D’Masiv terlibat kemalangan, tetap naik pentas

Akibat kecuaian pemandu, tiga anggota kumpulan D’Masiv iaitu Rian, Wahyu dan Rama berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan.

Difahamkan mereka dalam perjalanan untuk mengadakan persembahan di Surabaya. Menurut pengurus persembahan iaitu Aziz seperti yang dipetik Detik Hot, insiden Sabtu lalu itu cukup mendebarkan.

“Rian, Rama dan Wahyu terlibat dalam kemalangan akibat kelalaian pemandu yang mengantuk dan mungkin kerana kurang sihat sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

“Rian lebam di bahagian mata sebelah kiri kerana terhantuk di kerusi hadapan manakala Rama mengalami luka di dagu dan sudah menerima jahitan,” ujarnya.

Sementara itu Wahyu pula dikatakan mengalami sesak nafas dan keadaan kembali baik selepas menerima rawatan. Bagaimanapun kumpulan yang popular dengan lagu Cinta Ini Membunuhku, tetap tampil membuat persembahan seperti yang telah dijadualkan.

Menurut Rian selaku vokalis, mereka tidak mahu menghampakan peminat yang telah membeli tiket menyaksikan persembahan tersebut.

“Kami tetap membuat persembahan kerana peminat sudah membeli tiket.

“Kami melakukan dengan semampu yang boleh kerana cinta terhadap muzik,” jelasnya di laman sosial Instagram. – Agensi

Tiga anggota kumpulan D’Masiv iaitu Rian, Wahyu dan Rama berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan. – Agensi