Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DMPMM FC bangkit semula

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Brunei DPMM FC akhirnya berjaya bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dengan kemenangan 3-0 ke atas Geylang International dalam perlawanan Liga Perdana Singapura, sebentar tadi.

    Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

    Perlawanan pada babak pertama agak seimbang walaupun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, namun kedudukan kekal tanpa sebarang gol sehingga rehat.

    Pada babak kedua, DPMM FC dengan penyokong di laman sendiri terus meningkatkan rentak dan berjaya membuka jaringan dua minit selepas permainan bersambung menerusi Hakame Yazid selepas mendapatkan bola dan merembat melepasi Zainol Gulam.

    Walaupun Blake Ricciuto dilayangkan kad kuning pada minit ke-50, DPMM FC terus mengasak mencari ruang untuk menambah jaringan.

    Tujuh minit selepas jaringan Hakame Yazid, Hendra Azam Idris pula berjaya terus meletakkan DPMM FC di depan dengan jaringannya pada minit ke-54 melalui sepakan percuma.

    Dengan suntikan semangat dan kelebihan beraksi di laman sendiri, DPMM FC terus mengasak dan menambah jaringan pada minit ke-86 melalui rembatan kencang Adi Said dari luar kotak penalti selepas berjaya mengatur serangan balas ke gawang lawan.

    Dengan kemenangan ini, DPMM FC terus memimpin liga dengan 37 mata selepas mengharungi 18 perlawanan dengan 11 kemenangan, empat seri dan tewas tiga kali.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Perdana Singapura, DPMM FC menentang Geylang International di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan berangkat menyaksikan perlawanan semalam. Turut berangkat sama ialah YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman.
    Aksi cemas di depan pintu gol dalam pertemuan DPMM FC dan Geylang International di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda