Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Doa dan amalan ketika hujan

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Hujan merupakan salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia bukan sahaja sangat bermanfaat kepada manusia, bahkan juga sangat penting bagi kemakmuran bumi, kesuburan tanaman dan kehidupan seluruh makhluk yang ada padanya.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam surah an-Nahl ayat 10 yang tafsirnya:

    “Dialah yang menurunkan air (hujan) dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman kamu dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan yang padanya kamu mengembalakan ternakan kamu.”
    (Surah an-Nahl: 10)

    FirmanNya lagi dalam surah al-Furqan ayat 48 dan 49 yang tafsirnya:

    “Dan Dialah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (hujan). Dan Kami menurunkan dari langit air hujan yang suci lagi menyucikan.

    Gambar Unsplash

    “Supaya Kami hidupkan dengan air hujan itu bumi yang mati dan air hujan itu Kami beri minum kepada sebahagian daripada makhluk-makhluk Kami iaitu binatang ternakan yang banyak dan manusia yang ramai.”
    (Surah al-Furqan: 48-49)

    Dalam surah Qaf ayat 9 pula Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Dan Kami telah menurunkan hujan dari langit yang banyak faedahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu kebun-kebun (pohon buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.”
    (Surah Qaf: 9)

    Bagaimanapun, hujan juga boleh membawa derita dan kesusahan. Kemusnahan yang mungkin diakibatkannya seperti bencana banjir boleh menyebabkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

    Bahkan dalam al-Qur’an, diceritakan kisah beberapa kaum yang ditimpakan azab melalui hujan, antaranya kaum Nuh, Luth, kaum ‘Aad dan kaum Saba’.

    Sebagai contoh, perhatikan sahaja bagaimana kaum Nabi Nuh ‘alaihissalam diazab dengan hujan yang menyebabkan banjir besar akibat mendustakan rasul mereka, Nabi Nuh ‘alaihissalam.

    Ini sepertimana yang diceritakan dalam surah al-Qamar ayat 9 hingga 15, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (rasul mereka) iaitu mereka mendustakan hamba kami (Nabi Nuh ‘alahissalam) dan mereka berkata: “Dia seorang gila”, dan dia telah dilarang keras (daripada menjalankan dakwah agama).

    “Lalu dia berdoa kepada Tuhannya: “Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu tolonglah aku.” Maka Kami membukakan pintu-pintu langit dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.

    “Dan Kami memancarkan di bumi mata-mata air lalu bertemulah air (dari langit dan bumi) itu untuk menimbulkan satu keadaan (banjir besar).

    “Dan Kami bawa (Nabi Nuh ‘alaihissalam) di atas bahtera (yang dibina daripada) keping-keping papan dan pasak. (Bahtera itu) belayar dengan pengawasan Kami sebagai ganjaran kepada orang yang keadaannya diingkari oleh kaumnya (Nabi Nuh ‘alaihissalam).

    “Dan demi sesungguhnya Kami telah jadikan peristiwa itu sebagai bukti (yang menjadi pengajaran) maka adakah siapa yang mahu mengambil pengajaran (daripadanya)?”
    (Surah al-Qamar: 9-15)

    Demikian juga telah diazab kaum ‘Aad, iaitu kaum Nabi Hud ‘alaihissalam sepertimana dalam surah al-Ahqaf ayat 24 hingga 25 yang tafsirnya:

    “Maka apabila mereka melihat azab itu berupa awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Inilah awan yang akan membawa hujan kepada kita.

    “(Nabi Hud berkata: Bukan) bahkan itulah (azab) yang kamu minta segerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab yang pedih.

    “Yang memusnahkan segala-galanya dengan perintah Tuhannya.” Maka mereka pun musnah hingga tidak ada yang kelihatan melainkan (kesan-kesan) tempat tinggal mereka.

    Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.”
    (Surah al-Ahqaf: 24-25)

    Disebabkan keadaan dan sifat hujan yang tidak dapat dijangka atau diramal ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan begitu cemas dan gelisah apabila ternampak petanda yang menunjukkan kemungkinan hujan akan turun. Dalam sebuah hadits, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila melihat awan mendung di langit, Baginda mundar mandir ke hadapan dan ke belakang, masuk dan keluar, serta raut wajah Baginda segera berubah. Lalu apabila hujan turun, kegelisahan Baginda pun hilang.

    “Lantas ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pun menyebutkan keadaan Baginda itu kepada Baginda (bagi meminta penjelasan).

    “Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Aku tidak mengetahui adakah awan mendung ini sepertimana yang diucapkan oleh sebuah kaum (dalam surah al-Ahqaf ayat 24): “Maka apabila mereka melihat azab itu berupa awan yang menghala ke lembah-lembah mereka.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Ini kerana kaum tersebut, iaitu kaum ‘Aad menyangka bahawa awan itu membawa hujan kepada mereka sedangkan pada hakikatnya, ia membawa azab yang pedih sebagai balasan atas dosa-dosa mereka.

    Dalam sebuah lagi riwayat yang berkaitan, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan yang maksudnya:

    “Adapun Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila melihat mendung atau angin, ternampak perubahan pada raut wajah Baginda. ‘“Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

    “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ramai apabila melihat mendung, mereka akan gembira dengan harapan agar hujan akan segera turun.

    “Namun saya nampak Tuan apabila melihatnya, wajah Tuan menampakkan kegelisahan.”

    Baginda lantas menjawab: “Wahai ‘Aisyah, apa yang dapat menjaminku bahawa ianya (mungkin) membawa azab? Sungguh telah diazab suatu kaum dengan tiupan angin, dan kaum tersebut apabila melihat azab itu mereka mengatakan (sepertimana dalam surah al-Ahqaf ayat 24): Inilah awan yang akan membawa hujan kepada kita, (padahal ia membawa azab).”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Sebagai manusia, kita tidak mempunyai apa-apa daya untuk memilih atau menentukan bahawa hujan yang akan diturunkan itu adalah hujan pembawa rahmat ataupun hujan penyebab bencana.

    Semua itu merupakan rahsia Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata. Dari itu, bagi menghadapi berbagai kemungkinan ketika hujan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada kita doa-doa serta amalan yang sunat dilakukan dengan harapan agar Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan ia hujan yang mendatangkan manfaat dan kebaikan serta dihindarkan dari segala bala bencana.

    Doa ketika melihat petanda hujan akan turun

    Sebelum hujan turun, pada kebiasaannya ia akan didahului beberapa petanda tertentu seperti awan menjadi gelap atau mendung, bintang tidak berapa kelihatan di waktu malam dan sebagainya.

    Diriwayatkan bahawa apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melihat awan yang sedang berkumpul yang merupakan salah satu petanda bahawa hujan mungkin akan turun, Baginda membaca doa berikut yang maksudnya:

    “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari keburukan yang dibawa awan ini.”
    (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

    Sekiranya mendung berlalu tanpa turun hujan dan hari kembali cerah, disunatkan memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan mengucapkan hamdalah (Alhamdulillah) sepertimana yang dilakukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Doa ketika angin kencang

    Apabila angin bertiup dengan kencang, sunat membaca doa berikut yang maksudnya:

    “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang dibawa olehnya, dan kebaikan yang dihembus olehnya, dan aku berlindung denganMu dari kejahatannya, dan kejahatan yang dibawa olehnya, dan kejahatan yang dihembus olehnya.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Begitu juga disunatkan untuk membaca doa di bawah ini yang maksudnya:

    “Ya Allah, jadikanlah ia angin pembawa air dan pemindah benih (untuk proses pendebungaan), bukan angin yang mandul.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

    Satu perkara yang perlu diingat bahawa angin merupakan makhluk ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang diaturkan untuk bertiup atas kehendak dan perintahNya.

    Dari itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kita daripada mengeji atau mencelanya walaupun ia menyebabkan perkara yang tidak kita ingini seperti kesukaran, kemudaratan, malapetaka dan seumpamanya. Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Angin merupakan sebahagian daripada rahmat Allah, kadangkala datang dengan rahmat dan kadangkala datang dengan azab.

    “Maka apabila kamu melihatnya, janganlah kamu mencelanya, dan pohonkanlah daripada Allah akan kebaikannya, dan mintalah perlindungan dengan Allah daripada keburukannya.”
    (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...