Pernah melalui titik terendah dalam hidup, pelakon Fazura tidak menafikan individu yang dianggap sebagai sahabat sanggup menghilangkan diri tanpa memberi sebarang sokongan terhadapnya.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 42, berkata, ujian yang menimpa dirinya sejak sembilan bulan lalu telah membuka matanya apabila rakan-rakan sendiri seolah-olah tidak ambil peduli dengan masalah yang dihadapinya ketika itu.
“Sejujurnya saya seorang kawan yang sentiasa menyokong. Kalau kawan-kawan saya kena dianiaya, orang buat kawan saya sedih ke, saya akan jadi orang pertama yang akan mempertahankan mereka. Saya akan buat apa saja untuk bantu. Tapi di saat titik terendah saya selama sembilan bulan ini terutamanya bulan terawal bila berlaku pada diri saya, hilang (kawan).
“Mereka hilang, siapa yang saya sokong dan sayang macam adik sendiri pun tak ada. Tiada yang cari saya, mesej ringkas pun tak ada,” katanya.
Fazura berkongsi perkara itu menerusi satu sesi siaran langsung [Tonton video] dan dimuat naik semula oleh sebuah akaun di laman TikTok.
Dalam hantaran tersebut, Fazura menjawab soalan yang diberikan pengikut mengenai punca hubungan dia dan rakan lama semakin renggang.
Menurut pelakon filem Pisau Cukur ini, dia mengakui berasa sedih dengan apa yang berlaku dan memilih untuk mengecilkan kelompok persahabatannya.
“Patutnya mereka (kawan) inilah yang sentiasa ada untuk saya kan, tapi itulah semua lari tak ada. Setidaknya mesej tanya khabar keadaan saya, ringkas macam itu tapi tiada.
“Ada jugalah banyak pengkhianatan. Sudah tentu sebagai manusia biasa saya sedih dan kecewa tetapi saya percaya itu semua adalah kerana doa-doa saya yang dimakbulkan oleh Allah.
“Mungkin mereka bukanlah yang terbaik untuk saya. Saya memang kecilkan circle kawan, siapa yang ada sekarang memang susah senang sama-sama,” ujarnya.
Fazura bagaimanapun menganggap segala yang berlaku adalah jawapan kepada doa-doanya sebelum ini, di mana dia mahu dijauhkan daripada individu yang tidak baik untuknya.
“Saya bukanlah orang yang sempurna, masing-masing ada kelemahan sendiri. Tapi saya selalu doa Allah lindungi kita daripada manusia tidak berniat baik, berhawa nafsu syaitan, hasad dengki atau tak ikhlas. Itu doa untuk diri kita.
“Bagi saya siapa yang menjauh itu ternyata adalah doa-doa saya yang Allah makbulkan. Sebelum ini saya terfikir juga apa salah saya, tapi kita kena ingat balik doa-doa kita pada Allah,” katanya. – Agensi

