Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Doa kesyukuran hargai tenaga pengajar, peserta

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sebagai tanda penghargaan kepada para tenaga pengajar dan peserta Program Pentaksiran dan Penilaian Kemahiran Bertutur Berbahasa Arab, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran dan penghargaan serta penyampaian sijil di salah sebuah hotel di Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah sebelum ucapan daripada Ketua Unit Program Ta’zeez Al-Lughah Al-‘Arabiah Bil Madaris Al-‘Arabiah, Dr Hajah Norasimah binti Haji Latip selaku pengerusi bersama majlis.

    Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan seterusnya penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Kesultanan Oman serta peserta yang terdiri daripada 27 orang pelajar dan 13 orang tenaga pengajar.

    Menurut KHEU, Program Pentaksiran dan Penilaian Kemahiran Bertutur Berbahasa Arab Standard merupakan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Direktorat Am Pembangunan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman, khusus untuk melaksanakan projek berkomunikasi dalam Bahasa Arab Fushah dalam kalangan tenaga pengajar di Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil kepada peserta yang diraikan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Matlamat utamanya adalah untuk mengenal pasti keperluan program latihan yang akan datang serta meningkatkan tahap kemahiran berbahasa Arab Fushah dalam kalangan tenaga pengajar mahupun para pelajar di persekolahan Arab.

    Selain itu, program juga bertujuan untuk menilai sejauh mana keupayaan pelajar-pelajar yang dilatih dalam program tersebut dari segi kemahiran bertutur yang digunakan di dalam bilik darjah.

    Di samping itu, program juga bertujuan untuk membentang bengkel pengayaan mengenai kepentingan penggunaan Bahasa Arab Fushah di persekolahan Arab.

    Program telah ditawarkan melalui Unit Program Ta’zeez kepada pelajar-pelajar dari persekolahan Arab dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah untuk mengikuti Kursus Komunikasi Bahasa Arab Fushah yang telah berlangsung pada 7 Mei hingga 2 Julai lalu secara dalam talian.

    Terdahulu, petang tadi, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menerima kunjungan hormat daripada Penasihat kepada Menteri Pendidikan dan Ketua Pejabat Menteri Pendidikan Kesultanan Oman, Dr Saeed Saif Salim Al Ameri di Royal Suite, Tingkat 7, Hotel Parkview, Kampung Jerudong.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Dr Saeed Saif Salim Al Ameri berada di Negara Brunei Darussalam selaku Penyelia Am Program Kerjasama Kebudayaan antara Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam yang berlangsung pada 20 hingga 27 November.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...