Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Dalam menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT di atas rahmat dan nikmat kemerdekaan negara ini, Sekolah Nusa Laila Puteri Cawangan Kiulap telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 yang berlangsung di sekolah berkenaan, pagi tadi.
Majlis yang penuh berkebajikan itu telah disertai seramai 250 orang murid dan guru serta warga sekolah berkenaan.
Majlis telah dimulai dengan nyanyian lagu kebangsaan beramai-ramai diikuti dengan bacaan ikrar yang dipimpin oleh Awang Mohd Hafiz Fikri bin Haji Sofian, disusuli dengan bacaan Doa Tahlil dan Doa Selamat.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pentadbir Sekolah Nusa Laila Puteri, Pengiran Hajah Sharriffah Hidayat binti Pengiran Dr Haji Amir Muhammad Yussof.
Dengan adanya majlis tahunan seumpama ini, ia diharap akan dapat menyemai semangat patriotisme dan perasaan cinta dan taat setia kepada agama, bangsa dan negara dalam diri setiap individu terutamanya dalam kalangan generasi muda sebagai pewaris kekuatan negara yang berdaulat ini.
