Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Dalam semangat patriotisme, seramai 120 orang jemaah Brunei yang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah di bawah jagaan At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat sempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-34 pada 24 Februari lalu.
Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Konsul Agong Brunei Darussalam di Jeddah, Pengiran Haji Imran bin Pengiran Haji Othman dan Pengarah Urusan At-Taqwa Travel Tours, Pengiran Haji Rosdimar bin Pengiran Haji Omarali bersama pegawai-pegawai lainnya. Majlis tersebut dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat. Bacaan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Ketua Pegawai Kewangan At-Taqwa Travel Tours, Awangku Mohd Naasiruddeen bin Pengiran Haji Yusoff.
Selain itu, Kumpulan At-Taqwa juga mengibarkan bendera negara dengan megah di Jabal Rahmah, Arafah bagi melihatkan kecintaan dan kesetiaan kepada negara sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-34.
