Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Kesyukuran rai graduan biasiswa KHEU

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 17 orang graduan biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang terdiri daripada 14 orang graduan peringkat Sarjana Muda dan tiga orang graduan Sarjana yang telah menamatkan pengajian dengan cemerlang pada tahun ini diraikan pada Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil dan hadiah penghargaan kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar oleh Pegawai di KHEU, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.

    Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluan antara lain mengongsikan, majlis seumpama ini merupakan kali keempat ia diadakan yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam selaku Urusetia Jawatankuasa Biasiswa KHEU.

    “Ini melalui inisiatif Program Takreem yang memfokuskan kepada penghargaan hasil pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan awam di setiap peringkat sama ada di peringkat rendah, menengah dan peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil dan hadiah penghargaan kepada salah seorang graduan yang diraikan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara graduan yang diraikan di majlis itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Hajah Mariana menyampaikan ucapan alu-aluan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beliau turut mengongsikan objektif majlis diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan para graduan yang diraikan dan seterusnya memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan usaha gigih graduan-graduan di sepanjang tempoh pengajian.

    Selain ia juga dihasratkan sebagai insentif kepada para graduan yang diraikan dan motivasi kepada mahasiswa dan mahasiswi lain yang masih dalam pengajian supaya akan terus mempertingkatkan usaha dan pencapaian akademik mereka daripada semasa ke semasa.

    Katanya lagi, bagi meningkatkan kebolehpasaran para pelajar biasiswa dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan KHEU, pihak jabatan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan bagi pelaksanaan modul-modul atau program bersesuaian dengan keperluan semasa bagi memberikan kemahiran-kemahiran tambahan dan seterusnya menjadi nilai tambah bagi mempersiapkan pelajar-pelajar tersebut dengan alam pekerjaan nanti.

    “Salah satu inisiatif yang telah dibuat jabatan ini dengan kerjasama Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) ialah dengan memberikan peluang graduan-graduan yang baru menamatkan pengajian bagi mengikuti Program bersesuaian seperti penulisan Curriculum Vitae (CV) dan tips menjalani temu duga.

    “Di tangan para graduan cemerlang inilah terletaknya harapan untuk menjadi teladan yang bukan sahaja mahir dalam bidang kepakaran, tetapi juga berupaya menjunjung tinggi nilai keagamaan, memelihara adab, dan mempraktikkan ilmu dengan hikmah,” jelasnya.

    Majlis ini merupakan salah satu inisiatif bagi mendukung Rancangan Strategik KHEU 2025-2029 yang selaras dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu Melahirkan Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.

    Turut hadir di majlis itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar, serta pegawai-pegawai kanan KHEU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda