Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 63 kakitangan RB termasuk pesara menghadiri Majlis Khatam Al-Quran, Sembahyang Berjemaah dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, kelmarin, bersempena ulang tahun Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke-50.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan dan Pengerusi RB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Ulang tahun ke-50 itu menandakan satu babak yang membanggakan dalam komitmen RB untuk menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia yang berasaskan nilai kemesraan, keikhlasan dan kecemerlangan.
Syarikat penerbangan itu tetap komited untuk meningkatkan perkhidmatannya dan menyumbang kepada pertumbuhan negara dan kehadiran antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk mengembangkan ketersambungan di rantau ini, pada hari ke-50 ulang tahun, RB telah mengumumkan pelancaran semula penerbangan ke Balikpapan, Indonesia, yang akan bermula pada 19 Februari 2025.
Beroperasi dua kali seminggu dengan Airbus A320neo, laluan tersebut akan mengukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara Brunei dan wilayah Kalimantan Timur, menyediakan lebih banyak peluang perjalanan untuk pelancong riadah dan perniagaan.
Perkhidmatan baharu itu juga akan memberikan perkhidmatan yang lancar yang menghubungkan ke ibu kota masa depan Indonesia yang baharu, Nusantara, di Kalimantan.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat RB, Kapten Sabirin bin Haji Abd Hamid, berkata, “Mencapai kejayaan ini merupakan satu kebanggaan yang amat besar bagi kami semua di RB. Ulang tahun ke-50 kami bukan sekadar sambutan RB tetapi Brunei, rakyat dan visi bersama untuk masa depan.”