Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Masjid An-Na’im, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau, bersempena dengan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia yang diraikan pada 7 Ramadan setiap tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan Kalam Azhari iaitu sesi ceramah ringkas yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab.
Majlis sambutan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia pada tahun ini turut menyantuni anak-anak yatim yang terdiri daripada kalangan alumni Al-Azhar sendiri dan penduduk RPN Kampung Panchor Mengkubau dengan penyerahan derma yang diserahkan oleh Yang Behormat Menteri Hal Ehwal Ugama, dan seterusnya diikuti dengan penyerahan wakaf warga rabitah berupa kerusi lantai khusus untuk Masjid An-Naim.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi tadarus Al-Quran yang diketuai oleh raes rabitah, diikuti dengan bacaan tahlil dan doa dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na’im, Awang Muhammad Saifullah bin Rosli.
Acara diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin. Acara seterusnya ditutup dengan iftar bersama diikuti dengan solat Fardu Maghrib berjemaah.
Majlis Doa Kesyukuran antara lainnya bertujuan untuk menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Universiti Al-Azhar yang signifikan terhadap umat Islam sejak penubuhannya pada tahun 361H/971M dan mengenang jasa para ilmuwan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kemajuan negara sehingga identiti Islam itu semakin berkembang dengan mekar dan jayanya.
Selain itu juga bertujuan untuk menyatupadukan bekas-bekas pelajar universiti berkenaan di Negara Brunei Darussalam dan mengukuhkan silaturahim dan jalinan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin; Ra’es Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Naib Raes I Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku, ahli-ahli kehormat, jawatankuasa eksekutif dan ahli-ahli rabitah serta para jemputan-jemputan khas.