Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78 tahun, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat Masjid Ash-Shaliheen.
Majlis tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat dengan kerjasama Bahagian Sekuriti dan Undang-undang (SUU), JPM.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Majlis tersebut diadakan bagi merafakkan kesyukuran kepada Allah atas kepimpinan dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan serta limpahan rahmat dari Allah SWT dan seterusnya semoga Baginda Sultan dan kerabat diraja dikurniakan taufik, hidayah serta inayah-Nya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Doa Khas sempena memperingati Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-78 tahun yang dipimpin oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awangku Muhammad Rafiuddin bin Pengiran Eamle. Majlis kemudian diakhiri dengan solat fardu Asar berjemaah.
Turut hadir ialah Ketua Hakim Syar’ie, timbalan-timbalan menteri, jemputan-jemputan khas, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM.





