
Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bersempena Hari Puja Usia ke-50 tahun Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri juga selaku Pro Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), ketiga-tiga universiti berkenaan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Masjid UBD, Jalan Tungku Link, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Professor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; pegawai-pegawai kanan institut pengajian tinggi dan para jemputan khas.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah dan Solat Sunat Hajat yang diimamkan oleh Imam Peringkat II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Muhaimin bin Dr Haji Serbini.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Bilal Peringkat II, Masjid Kampung Mata-Mata, Awang Muhammad Syazwan Ghassani bin Mohd Sahron dan diakhiri dengan Solat Isyak berjemaah.

