Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Brunei Gas Carriers (BGC) hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-26 dengan Majlis Doa Kesyukuran dan Majlis Iftar bersama Anak-anak Yatim dan Warga SMARTER di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan BGC, Kapten Abdul Mateen bin Abdurrahman Liew. Turut hadir ialah Ketua Kampung Jerudong A, Awang Mohammad Nazmi Fa’iz bin Haji Abu Bakar dan Ketua Kampung Jerudong B, Awang Kamis bin Panjang.
Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif sosial BGC dengan kerjasama ketua Kampung Jerudong A dan B untuk bersama-sama menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 62 orang anak yatim Kampung Jerudong A dan B serta pelajar SMARTER.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Selamat, diikuti dengan penyampaian sumbangan dalam bentuk Eidiya, melalui kutipan derma dalaman di kalangan kakitangan BGC, dan seterusnya solat Fardu Maghrib berjemaah dan berbuka puasa.
Kapten Abdul Mateen menyatakan kegembiraannya dengan berucap, “Saya berbesar hati dan bertuah kerana dapat berbuka puasa bersama semua tetamu istimewa yang hadir di sini hari ini.
“Memandangkan Ramadan adalah bulan memberi, BGC bertuah kerana dapat menjaga kesejahteraan komuniti kami. Kami akan terus berkhidmat kepada komuniti kami dengan mengambil kira kepentingan mereka dan memenuhi inisiatif pelaburan sosial kami mengikut keperluan mereka,” ujarnya.
Dengan acara berkenaan, BGC bermatlamat untuk memupuk semangat kebajikan dalam kalangan kakitangan BGC dan pada masa yang sama berinteraksi dan membina hubungan dengan masyarakat setempat.