Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-31 Tahun di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan bacaan Doa Kesyukuran sempena 31 tahun penubuhan Yayasan.
Yayasan ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak menaiki takhta.
Penubuhan Yayasan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat serta menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.


