Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Kesyukuran sempena Puja Usia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Bagi memohon keberkatan ke hadrat Allah SWT, Kumpulan Isteri-isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu, kelmarin, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat sempena Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Majlis berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Pengiran Babu Raja.

    Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Datin Hajah Dayang Nahriah binti Haji Awang Hasbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi II dan Ketua Jawatankuasa Keagamaan kumpulan berkenaan. 

    Datin Hajah Dayang Nahriah memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Acara kemudiannya disusuli dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai yang diketuai oleh Dayang Hainun binti Haji Mustapha dan Dayang Hajah Norasnida binti Haji Ramlee, Pegawai Pendidikan Ugama, dan seterusnya diikuti dengan bacaan Takhtim dan bacaan Doa Khatam Al-Quran.

    Majlis Khatam Al-Quran tersebut diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban oleh ahli-ahli kumpulan berkenaan dan bagi memperoleh keberkatan dari Allah SWT ditutup dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, selaku Ahli Bersekutu.

    Majlis diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Pegawai Istinbat Kanan Dayang Hajah Noraini binti Haji Buntar, selaku isteri Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama yang juga mengepalai bacaan Doa Khas Kesyukuran.

    Acara diakhiri dengan sembahyang fardu Asar berjemaah, yang mana majlis ini merupakan aktiviti tahunan Kumpulan berkenaan sebagai menzahirkan tanda kasih dan kesyukuran dengan merafakkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dikurniakan usia yang panjang, sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat serta sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.

    Gambar atas & bawah, suasana sekitar majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    GAMBAR OLEH LYNA MOHAMMAD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda