Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Kesyukuran sempena Puja Usia Baginda Raja Isteri

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kira-kira 280 orang ahli dari persatuan-persatuan wanita yang bergabung di dalam Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), telah menghadiri Majlis Solat Fardu Asar Berjemaah, Bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini.

    Turut menyertai dalam majlis itu ialah ahli-ahli Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU), serta beberapa orang ahli jemputan dari Brunei Shell Ladies Association (BSLA) dan Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA).

    Majlis dimulakan dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis/Madang.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dipertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof.

    Sementara itu, Surah Yasin dan doa dibacakan oleh Ketua Bahagian Keagamaan MWNBD, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar.

    Datin Hajah Dayang Siti Hajar hadir pada majlis kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Manakala, Doa Kesyukuran sempena puja usia Baginda Raja Isteri dibacakan oleh ahli Persatuan Pertiwi, Hajah Fatimah binti Haji Ahmad, dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh ahli Persatuan Kebajikan Perempuan, Belait, Hajah Julianawati binti Haji Hamdan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah; yang dipertua, ketua pesuruhjaya, pengerusi dan pengarah dari 13 buah persatuan yang bergabung dalam MWNBD serta para jemputan khas.

    Objektif majlis itu diadakan adalah untuk memanjatkan dan merafakkan doa kehadrat Allah SWT semoga Baginda Raja Isteri dilanjutkan usia, dikurniakan taufik dan hidayah, sihat walafiat dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

    Majlis dikendalikan oleh MWNBD yang merupakan salah satu aktiviti tahunan dan tanda kasih kepada Baginda Raja Isteri selaku Penaung Diraja MWNBD dan PENJURU.

    MWNBD mempunyai 13 buah persatuan terdiri dari Persatuan Pertiwi, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), Badan Kebajikan Isteri Pegawai-pegawai Kerajaan, Pegawai-pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI) Brunei Darussalam, Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait (PKP), Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Persatuan Kebajikan Gabungan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA), Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), Persatuan Wanita Kampung Junjungan (PEWAJA), Persatuan Nurul Islam (PNI), Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) dan Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda