Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Bimbingan Haji, hari ini, telah mengadakan Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra bersama Bakal Jemaah Haji Tahun 1440H/2019M di Dewan Bankuet, Dewan Persidangan Bridex, Jerudong.
Majlis antara lain bertujuan meraikan bakal-bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadat haji pada tahun ini setelah selesai mengikuti kursus ibadat haji selain mengeratkan hubungan silaturahim dan memohon kehadrat Allah SWT agar bakal jemaah haji sentiasa mendapat perlindungan, keselamatan dan dipermudahkan segala urusan serta akan beroleh haji yang mabrur.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz bin Saad Al Muhanna serta para pegawai kanan kerajaan.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa kursus haji yang merupakan salah satu inisiatif baharu Jabatan Urusan Haji telah mendapat sambutan baik. Menurut beliau, seramai 6,403 orang (3,530 perempuan dan 2,873 lelaki) telah menyertai keseluruhan enam sesi kursus berkenaan yang diadakan setiap Jumaat di keempat-empat daerah.
Peserta yang paling ramai ialah mereka yang telah mendaftar dan sedang menunggu giliran menunaikan ibadat haji, diikuti dengan peserta yang telah tersenarai untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.
Selebihnya ialah orang ramai yang belum mendaftar tetapi berminat untuk mengikuti kursus khas asas ibadat haji sebagai pengetahuan.
