Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Majlis Doa Selamat serta Kesyukuran Istiadat Bersiram Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah sempena selamat meluaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Nabeelah Najmul Bolqiah, berlangsung di Surau Istana Nurul Iman, hari ini.

Majlis disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Istiadat bermula dengan empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang tersedia terpasang di tempat yang dikhaskan.
Kemudian diikuti tiga orang Awang-Awang membawa masuk Surat Dikir, Bantal Gaguling dan Pabarahan dan meletakkannya di tempat yang telah ditentukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid.
Majlis seterusnya diikuti dengan Dikir Syarafil Anam, bacaan Rawi dan Dikir Marhaban.
Sejurus perenggan ‘Ya Habibi’ dibacakan, 17 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di pekarangan Istana Nurul Iman.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Berangkat dan hadir ke majlis berkenaan, pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan setiausaha-setiausaha tetap serta timbalan-timbalan setiausaha tetap.
Sementara di Balai Singgahsana Indera Kenchana Istana Nurul Iman, majlis turut dihadiri oleh para jemputan wanita.
YAM Pengiran Anak Nabeelah Najmul Bolqiah merupakan anakanda keempat Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah yang diputerikan pada Rabu, 10 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 9 April 2025 Masihi, jam 6:54 pagi.