Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doa Selamat untuk bakal jemaah haji MOFE

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Seramai 10 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini petang tadi diraikan dalam Majlis Doa Selamat yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan MOFE, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Majlis yang diadakan ini bertujuan memohon keberkatan dan perlindungan Allah SWT agar semua bakal jemaah haji dari kementerian tersebut dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan haji yang mabrur.

    Di samping itu, majlis keagamaan tahunan ini juga menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di bawahnya, termasuk Brunei Darussalam Central Bank.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan ceramah khas bertajuk Lambaian Haji yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

    Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan derma kepada para bakal jemaah, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Penganjuran majlis pada tahun ini dikendalikan oleh Bahagian Belanjawan, Pejabat Belanjawan dan Rancangan Kemajuan Negara, MOFE.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, serta pegawai dan kakitangan kementerian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sumbangan derma kepada bakal jemaah haji lelaki. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sumbangan derma kepada bakal jemaah haji perempuan, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda