Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 2 Jan – Bagi memohon keselamatan dan meminta dijauhkan segala bencana yang dihadapi para nelayan, Kumpulan Nelayan Mukim Telisai di bawah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau telah mengadakan Majlis Doa Selamat dan Doa Tolak Bala di Masjid Kampung Danau, semalam.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir bersama para nelayan dan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampong Danau.
Majlis Doa Selamat dan Tolak Bala telah dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Danau, Haji Haslan bin Haji Shahbudin yang juga merupakan pengerusi Kum-pulan Nelayan Mukim Telisai.
Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya para nelayan sentiasa dalam keadaan selamat, terhindar daripada sebarang keadaan yang membahayakan dan diberikan rezeki semasa turun ke laut dan ke sungai.
Majlis tersebut diadakan setiap awal tahun oleh Kumpulan Nelayan Mukim Telisai dan ini merupakan kali keenam ia dijalankan. Dengan adanya majlis ini, ia juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan para nelayan di samping mendoakan keselamatan para nelayan yang lain.