Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doak sertai Bournemouth dari Liverpool

    LONDON, 19 OGOS – Pemain sayap antarabangsa Scotland, Ben Doak, telah menyertai Bournemouth dalam satu perpindahan bernilai £25 juta, sekali gus menjadikan jumlah hasil jualan pemain Liverpool melebihi £200 juta pada jendela perpindahan kali ini.
     
    Pemain berusia 19 tahun itu, yang dibeli daripada Celtic dengan harga hanya £600,000 pada 2022, hanya membuat 10 penampilan bersama pasukan utama Liverpool.
     
    Doak menyerlah ketika dipinjamkan ke kelab divisyen dua, Middlesbrough dan meraih enam penampilan bersama skuad kebangsaan musim lalu.
     
    BBC melaporkan bahawa Bournemouth akan membayar sebanyak £20 juta sebagai bayaran awal, dengan tambahan £5 juta sebagai insentif.
     
    “Saya rasa ini masa yang tepat untuk saya dan ia merupakan peluang besar untuk bermain secara tetap di peringkat tertinggi. Ia dirasakan sangat sesuai,” kata Doak.
     
    “Pasukan ini bermain dengan corak bola sepak yang menarik. Ia pantas dan benar-benar sesuai dengan gaya permainan saya, jadi saya tidak mampu menolak peluang untuk bermain di sini.”
     
    Doak mengikuti jejak langkah Luis Diaz, Darwin Nunez, Trent Alexander-Arnold, Caoimhin Kelleher, Jarell Quansah dan Tyler Morton yang meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
     
    Keadaan itu membolehkan The Reds membelanjakan sekitar £300 juta untuk memperkukuhkan skuad kendalian Arne Slot dengan membawa masuk pemain baharu seperti Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Jeremie Frimpong, Milos Kerkez dan Giovanni Leoni.
     
    Beberapa lagi pemain dijangka tiba di Anfield sebelum jendela perpindahan ditutup dalam tempoh dua minggu.
     
    Tawaran bernilai £110 juta untuk penyerang Newcastle, Alexander Isak, dilaporkan telah ditolak, manakala kapten Crystal Palace, Marc Guehi, juga hampir melengkapkan perpindahan ke juara bertahan itu. – AFP
     
    Aksi Ben Doak menyambut bola semasa perlawanan persahabatan pramusim antara Manchester United dan Liverpool di Stadium Williams-Brice, Columbia, South Carolina, pada 3 Ogos 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda