Saturday, June 29, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Doakan saudara Muslim juga satu pengorbanan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Umat Islam digalakkan untuk berkorban dengan menyembelih binatang korban kerana pahala berkorban sangat besar untuk dijawat di akhirat kelak.

    “Bagi siapa yang mampu, marilah sama-sama berkorban kerana peluang berkorban itu boleh didapati cuma sekali sahaja dalam setahun,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidiladha 2024, hari ini.

    Baginda bertitah, kalau berkorban di luar Aidiladha, ia seperti berkorban membangun masjid, berkorban menyantuni fakir miskin dengan sedekah, berkorban memelihara anak-anak yatim, berkorban membantu mangsa banjir, mangsa kebakaran dan lain-lain,
    berkorban menyantuni warga emas dengan pencen tua, berkorban memelihara saudara baharu dengan membantu dan menyampaikan bimbingan keagamaan dan lain-lain.

    Semua itu juga namanya berkorban yang dijanjikan oleh Allah ganjaran pahala bagi siapa yang melakukannya.

    Titah Baginda, peluang berkorban sentiasa terbuka luas bagi orang-orang Islam, seperti contoh berkorban dengan mengisi tabung kemanusiaan rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidiladha 2024. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Menurut Baginda, pengorbanan jenis itu malah boleh disifatkan sebagai pengorbanan tertinggi kerana tujuannya suci pada jalan Allah.

    Negara Brunei Darussalam selamanya berpendirian supaya perang yang berat sebelah ini segera ditamatkan, dengan rakyat yang tidak berdosa dihormati hak mereka untuk menikmati keamanan, kesentosaan dan kebebasan.

    Baginda turut menyeru para jemaah haji negara di Tanah Suci supaya jangan lupa di samping berdoa untuk negara sendiri, berdoa juga untuk saudara seagama di mana sahaja, khasnya saudara rakyat Palestin yang sedang berendam air mata.

    “Doa adalah pernyataan simpati dan kasih sayang terhadap orang yang didoakan dan perkara ini sangat disuruh oleh agama sehingga Nabi SAW ada menjelaskan dalam beberapa hadis Baginda.

    “Hadis tersebut jelas menjadi dalil kuat, agar mengasihani sesama hamba terutama terhadap mereka yang menjadi mangsa kezaliman atau lain-lain musibah,” titah Baginda.

    Tegas Baginda lagi, inilah indahnya ajaran Islam dalam konteks berkorban, pengorbanan dalam Islam adalah sangat luas dan menyeluruh, termasuk perbuatan bersimpati dan mendoakan saudara Muslim juga termasuk pengorbanan, dan kerana itu ganjarannya adalah istimewa bagi siapa yang melakukannya.

    Seorang yang mendoakan kebajikan untuk saudaranya, titah Baginda lagi, jika kebajikan itu didapat oleh saudara yang didoakan, maka ganjaran kebajikan yang sama akan diterima oleh orang yang mendoakan.

    “Demikian juga kalau kita mengasihani sesama kita di muka bumi, maka kita juga akan dikasihani oleh penghuni langit, bahkan oleh Allah SWT.”

    Begitulah adilnya Allah SWT dalam mengurniakan ganjaran timbal balik kepada sesiapa yang berkorban dan juga kepada mereka yang menerima pengorbanan, titah
    Baginda.

    Di akhir titah, Baginda dan keluarga Baginda mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana saja mereka berada.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...

    Xi bertemu PM Vietnam