WASHINGTON, 27 JULAI – Jabatan Kecekapan Kerajaan Amerika Syarikat (DOGE) merancang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan separuh daripada jumlah peraturan persekutuan menjelang ulang tahun pertama penggal kedua Presiden Donald Trump, lapor RIA Novosti yang memetik Washington Post, berdasarkan dokumen dan sumber dalaman.
Menurut laporan itu, DOGE membangunkan alat khas berasaskan AI untuk menganalisis sekitar 200,000 peraturan persekutuan bagi mengenal pasti peraturan yang boleh dimansuhkan kerana tidak lagi diperlukan dari segi undang-undang.
Berdasarkan slaid pembentangan yang diperoleh oleh akhbar itu, kira-kira 100,000 peraturan dijangka dibatalkan melalui kaedah itu.
Matlamat utama inisiatif itu untuk ‘melancarkan semula Amerika’ menjelang 20 Janauri 2026.
Inisiatif itu turut dijangka menjimatkan trilion dolar menerusi pengurangan peraturan dan bajet kerajaan persekutuan, di samping menarik lebih banyak pelaburan asing.
Alat AI itu dilaporkan telah digunakan untuk membuat keputusan terhadap 1,083 seksyen peraturan di Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD) dalam tempoh dua minggu.
Menurut dokumen dan pengesahan daripada tiga pegawai HUD yang dipetik oleh Washington Post, alat itu telah digunakan untuk menganalisis ratusan dan mungkin lebih seribu peraturan di agensi terbabit bagi tujuan pemansuhan atau pindaan. – Bernama
