WASHINGTON, 27 Jun – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Rabu berkata satu perjanjian telah dicapai dalam kes dakwaan penyelewengan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perjanjian itu melibatkan Low Taek Jho atau Jho Low, ahli keluarganya dan entiti amanah yang ditubuhkan oleh Low. Ia termasuk perampasan sivil lebih AS$100 juta.
DOJ berkata sebelum perjanjian itu, lebih AS$1.4 bilion aset yang dikaitkan dengan skim itu telah dikembalikan kepada Malaysia, lapor agensi berita berpangkalan di Amerika Syarikat, United Press International (UPI).
“Pihak Low juga telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pemindahan ke Malaysia bagi aset tertentu yang berada di Hong Kong, Switzerland dan Singapura yang dikaitkan dengan dana 1MDB.
“Di bawah perjanjian ini, jabatan ini akan menyelaras dengan rakan kongsi asing untuk memudahkan penjualan dan pemulangan aset ini kepada Malaysia,” kata DOJ dalam satu kenyataan.
Tindakan perampasan sivil di bawah perjanjian ini termasuk sebuah apartmen mewah di Paris, serta karya seni di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli oleh Low dengan harga kira-kira AS$35 juta.
Kira-kira AS$67 juta dalam bentuk hartanah dan akaun bank di Hong Kong, Switzerland dan Singapura juga dirampas. – Bernama
