WASHINGTON, 31 OKT – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memeterai perjanjian dengan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low untuk memperoleh semula wang berjumlah hampir AS$1 bilion yang diselewengkan daripada dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Skandal global 1MDB adalah antara faktor yang menumbangkan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, membabitkan Wall Street dan mencetuskan siasatan di seluruh dunia.
Penyelesaian berkenaan difailkan di mahkamah California semalam.
Ia adalah kemenangan paling besar untuk Initiatif Pemerolehan Semula Aset Kleptokrasi DPJ sejak ditubuhkan hampir sedekad lalu untuk mencegah Amerika Syarikat (AS) daripada dijadikan lubuk penyimpanan wang curi.
Perjanjian itu, jika diluluskan oleh hakim persekutuan akan membantu kes rampasan yang dikaitkan dengan Jho Low, selaku perancang utama kecurian wang melebihi AS$4 bilion daripada 1MDB.
Wang itu digunakan bagi membeli sebuah jet peribadi, kapal layar mewah, rumah agam, berlian dan penerbitan filem Hollywood.
“Ia adalah satu penyelesai-an rampasan aset terbesar dalam sejarah perundangan AS dan menggambarkan kesediaan untuk memulangkan semula setiap aset yang dituntut DoJ,” kata bekas gabenor New Jersey, Chris Christie dalam satu kenyataan.
Firma undang-undang milik Christie bertindak sebagai wakil kepada Low.
Pengumuman semalam oleh DoJ itu bagaimanapun tidak memperincikan apa yang akan berlaku pada kesemua aset berkenaan sekiranya dijual. – AFP