BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Hari kedua sesi konsultasi Pelan Tindakan Pelbagai Sektor bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Tidak Berjangkit (BRUMAP-NCD) 2021-2025 anjuran Kementerian Kesihatan yang dihadiri oleh seramai 20 orang wakil daripada sektor kerajaan, hari ini, tertumpu kepada perbincangan mengenai mendokong masyarakat yang aktif dan promosi kegiatan fizikal di Negara Brunei Darussalam.
Pada kali ini, Konsultan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Erica Reeve berkongsi hasil dapatan daripada penilaian BRUMAP-NCD 2013-2018 dan saranan tindakan-tindakan bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan kekurangan kegiatan fizikal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, antara saranan yang telah dibincangkan oleh peserta-peserta termasuk mencari peluang untuk membudayakan kegiatan fizikal supaya menjadi rutin harian dengan memastikan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, taman atau tempat beriadah, perkembangan kawasan bandar dan perancangan mengenai pengangkutan menepati piawaian dan mengambil kira keperluan untuk orang ramai, pengguna dan pekerja melakukan aktiviti fizikal.
Selain itu, meneruskan langkah-langkah untuk mengembangluaskan infrastruktur bagi berjalan kaki, mendaki bukit dan berbasikal di kawasan taman dan persekitaran semula jadi serta mempertimbangkan program pemberian insentif kepada mereka yang aktif menggunakan pengangkutan awam ke sekolah dan tempat kerja.
Saranan lain adalah mobility break iaitu mempertimbangkan senaman jangka masa pendek sebagai aktiviti harian di sekolah dan di tempat kerja serta subsidi dan insentif bagi kegiatan fizikal dengan menawarkan subsidi dan insentif bagi mereka yang dirujuk atau yang digalakkan untuk menggunakan pusat kecergasan atau gim dan mempertimbangkan penggunaan kemudahan sekolah atau tempat-tempat sukan setempat di waktu malam atau pada hari kelepasan secara percuma atau melalui pemberian subsidi untuk kegunaan keluarga atau masyarakat setempat.

Turut disarankan adalah kempen media massa kegiatan fizikal dengan mengadakan kempen media yang mempromosi kegiatan fizikal dan senaman (yang tertumpu kepada wanita dan remaja) dan mengaitkan aktiviti fizikal dengan kesihatan serta mengadakan kempen media yang mempromosi pelbagai jenis kegiatan fizikal yang boleh dilakukan dalam rutin seharian selain dari aktiviti kegiatan fizikal tetap yang dilakukan setiap hari.
Pada masa yang sama juga, konsultasi serentak telah diadakan dalam kalangan pihak-pihak sektor kesihatan bagi memperkukuhkan lagi langkah-langkah untuk pengesanan awal dan pengurusan penyakit-penyakit tidak berjangkit se-perti kanser, penyakit jantung, diabetes dan penyakit pernafasan kronik di negara ini.
Kenyataan menyatakan, sesi konsultasi kesihatan telah bermula pada hari ini hingga 1 Oktober secara dalam talian melalui aplikasi Zoom. Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Unit Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit, Kementerian Kesihatan, Dr Ong Sok King dan Konsultan WHO, Dr Yap Wei Aun.
Seramai 60 orang peserta terdiri daripada pakar perubatan dan profesional kesihatan bersekutu dari kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta yang menyertai konsultasi tersebut.
Ini termasuk beberapa jabatan klinikal di bawah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jabatan Penjagaan Kesihatan Asasi dan Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Turut serta ialah pakar perubatan dari Pusat Kanser Brunei (TBCC), Perkhidmatan Pencegahan Kanser dan Pengesanan Awal (Early Detection and Cancer Prevention (EDCP) Services), Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), the Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC), Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan beberapa buah klinik swasta.
Sesi konsultasi kesihatan telah bermula dengan perbincangan mengenai kanser pada hari ini. Manakala itu, sesi konsultasi untuk perbincangan mengenai pencegahan penyakit kardiovaskular dan diabetes akan diadakan pada 30 September dan sesi konsultasi untuk perbincangan mengenai pencegahan penyakit pernafasan kronik dan data surveillance pada 1 Oktober.