Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Doktor bimbang kesihatan Ratu Elizabeth II merosot

    LONDON, 8 SEPT – Ratu Elizabeth II telah diletakkan di bawah pengawasan perubatan kerana doktor “bimbang terhadap kesihatan Baginda,” kata Istana Buckingham hari ini, ketika ahli keluarga diraja membuat perjalanan menuju ke Scotland.

    Sebelum berita kemangkatannya diumumkan, malam tadi, ketua negara berusia 96 tahun itu telah berdepan masalah kesihatan sejak Oktober lalu yang menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk berjalan dan berdiri.

    Kelmarin, Baginda menarik diri daripada mesyuarat yang dirancang dengan penasihat politik kanannya, selepas dinasihatkan untuk berehat. Sementara itu, pada Selasa Baginda mengadakan perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri Boris Johnson dan melantik penggantinya, Liz Truss di Scotland, Balmoral.

    “Berikutan penilaian lanjut pagi ini, doktor Baginda mengambil berat tentang kesihatan Baginda dan telah mengesyorkan Baginda kekal di bawah pengawasan perubatan,” kata Istana Buckingham dalam satu kenyataan.

    “Baginda berada dalam keadaan stabil dan berada di Balmoral,” tambah kenyataan itu.

    Media berkumpul di pintu masuk ke Balmoral di Scotland, tempat Ratu Elizabeth II berada di bawah pengawasan perubatan. – AP

    Istana enggan memberikan butiran lanjut tentang keadaan permaisuri. Beberapa saat sebelum pengumuman dibuat, nota telah diserahkan di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Liz Truss, menteri-menterinya dan pemimpin pembangkang, mendorong mereka meninggalkan dewan.

    Sementara itu, kerabat diraja membatalkan percutian yang telah lama dirancang untuk pergi ke Highlands.

    Putera Charles, pewaris takhta, bersama isterinya, Camilla, dan Puteri Anne kini berada di Scotland untuk bersama Baginda di Istana Balmoral. Putera William, anak sulung Charles dan Putera Harry bersama isterinya, Megan juga dalam perjalanan ke Balmoral.

    Dilaporkan, Putera Andrew, Earl dan isterinya, Countess of Wessex turut menuju ke Istana Balmoral.

    Elizabeth semakin banyak menyerahkan tugas kepada Charles dan ahli keluarga diraja yang lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila dia pulih daripada COVID, mula menggunakan tongkat dan susah untuk bergerak.

    “Seluruh negara sangat bimbang dengan berita dari Istana Buckingham pada tengah hari ini,” kata Truss melalui ciapan di Twitter.

    “Doa kami untuk Baginda Ratu Elizabeth II dan keluarganya pada masa ini.” Pemimpin politik menyatakan kebimbangan mereka, dan Archibishop Canterbury, Justin Welby, berkata “doa negara” bersama Baginda. – AFP/AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...