TEXAS, 1 JUN – Seorang pakar reumatologi dari Texas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana skim penipuan penjagaan kesihatan yang kejam yang menipu ratusan orang sihat dengan rawatan yang mahal dan berbahaya.
Selama bertahun-tahun, pakar rheumatologi berusia 68 tahun, Dr Jorge Zamora-Quezada dari Mission, Texas telah secara palsu mendiagnosis pesakit dengan penyakit kronik untuk membuat bayaran untuk ujian dan rawatan yang mereka tidak perlukan, menurut laporan Oddity Central.

Bukti yang dikemukakan oleh pendakwa menunjukkan bahawa skim penipuannya melibatkan lebih AS$118 juta dalam tuntutan palsu dan pembayaran lebih AS$28 juta oleh syarikat insurans, yang membolehkannya menikmati keuntungan yang sangat besar.
Dengan mengaut keuntungan daripada mangsa yang tidak bersalah, Zamora-Quezada dapat mengumpul kekayaan yang besar termasuk 13 hartanah, sebuah jet dan sebuah kereta mewah Maserati GranTurismo.
“Dr Zamora-Quezada menjalani gaya hidup mewah selama dua dekad dengan menyebabkan trauma kepada pesakit, mendera pekerja, berbohong kepada syarikat insurans dan mencuri wang pembayar cukai,” kata Matthew R. Galeotti, Ketua Bahagian Jenayah Jabatan Kehakiman.

Semasa perbicaraannya, pakar-pakar reumatologi Texas yang lain telah hadir memberi keterangan setelah melihat beratus-ratus pesakit yang sebelum ini didiagnosis dengan artritis reumatoid oleh tertuduh.
Mereka mengatakan tiada seorang pun daripada mereka yang mempunyai penyakit sebegitu, tetapi telah diberi ubat dan rawatan yang mahal dan kadar tinggi yang juga boleh membawa kesan sampingan melemahkan badan malah boleh membawa maut. Antara pesakit yang ditipu termasuk remaja seawal umur 13 tahun.
Sesetengah pesakit telah mengalami strok, nekrosis tulang rahang, keguguran rambut, kerosakan hati dan kesakitan yang luar biasa menyebabkan sukar menjalani kehidupan normal.
“Selalu terbaring di katil dan tidak dapat bangun seorang diri serta tubuh dipam masuk dengan pelbagai ubat-ubatan. Saya rasa hidup saya tidak mempunyai apa-apa makna lagi,” menurut seorang mangsa.

Manakala yang lain ada yang mengatakan mereka menangguhkan pengajian kolej kerana menjalani rawatan yang membuatkan mereka terasa seperti hidup dalam tubuh orang tua.
Selain menipu pesakit, Dr Zamora-Quezada juga dilaporkan menakutkan kakitangannya dengan memeras ugut mereka supaya mengikut arahan penipuannya.
Dia kebanyakannya mengupah pekerja imigran dengan visa J-1 supaya boleh diancam untuk dipecat dan membahayakan status imigresen mereka.
Sebagai hukuman, Jorge Zamora-Quezada perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga tahun pembebasan dalam pengawasan. Dia juga diarah membayar ganti rugi sebanyak AS$28,245,454, termasuk 13 hartanah, jet peribadi dan kereta mewahnya. – Agensi

