BERLIN, 8 JULAI – Polis Jerman hari ini memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat seorang doktor yang disyaki membunuh beberapa pesakit terutamanya warga emas, namun tidak menyatakan jumlah mangsa berkenaan.
Polis dan pihak pendakwa raya di Itzehoe dalam satu kenyataan berkata satu siasatan telah dibuka berhubung kematian pesakit-pesakit tersebut. Menurut pihak berkuasa, para penyiasat kini sedang ‘meneliti semula kematian-kematian terdahulu’ yang mempunyai kaitan dengan doktor dari bandar Pinneberg di utara Jerman, terletak berhampiran Hamburg.
‘Beberapa proses bedah siasat dan penggalian semula mayat’ telah pun dilaksanakan, namun hasil analisis forensik dijangka hanya akan diperoleh dalam tempoh ‘beberapa minggu lagi’.
Tuduhan terbaharu ini mengingatkan kepada dua kes besar lain yang berlaku baru-baru ini di Jerman, melibatkan petugas kesihatan yang didakwa membunuh pesakit. – AFP
