Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor dituduh bunuh 15 pesakit di Berlin

    BERLIN, 17 APRIL – Pendakwa raya berkata pada kelmarin, mereka telah mendakwa seorang doktor penjagaan paliatif di Berlin dengan tuduhan membunuh 15 pesakit, dan bertindak atas keinginan untuk membunuh.

    Suspek berusia 40 tahun itu telah dituduh membunuh 12 wanita dan tiga lelaki antara September 2021 dan Julai 2024 menggunakan campuran sedatif yang mematikan.

    Laporan akhbar Jerman yang mengenal pasti suspek sebagai Johannes M. Walau bagaimanapun, pendakwa raya belum mengeluarkan lagi nama penuh beliau.

    Doktor itu didakwa “memberikan anestetik dan relaksan otot kepada pesakitnya, tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka,” kata pejabat pendakwa raya Berlin dalam satu kenyataan.

    Relaksan itu “melumpuhkan otot pernafasan, sehingga menyebabkan kegagalan pernafasan dan kemudian mati dalam beberapa minit.”

    Gambar Freepik

    Kesemua mangsa yang sedang menerima rawatan pada masa itu merupakan individu yang berusia sekitar 25 sehingga 94 tahun.

    Dalam lima kejadian, pendakwa raya mendakwa suspek telah “membakar apartmen mereka untuk menutup pembunuhan ini.”

    Dalam satu kejadian lain, suspek telah dituduh membunuh dua orang pesakit pada hari yang sama. Pada pagi 8 Julai 2024, dia didakwa membunuh seorang lelaki berusia 75 tahun di rumahnya di daerah Kreuzberg, Berlin.

    Beberapa jam kemudian, dia didakwa membunuh seorang wanita berusia 76 tahun di daerah Neukoelln yang berdekatan.

    Menurut pendakwa raya, usaha suspek untuk membakar tempat kejadian tersebut gagal apabila api tidak menyala. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Anjing hitam