Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor, dua doktor gigi haram didenda $18,000

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menjatuhkan hukuman denda ke atas dua orang warga Filipina yang memberikan perkhidmatan pergigian tanpa kebenaran, dan seorang doktor gigi tempatan yang bersubahat dengan kedua-duanya.

    Doktor gigi, Richard Henry Toyad, 61, diarah membayar denda $8,000, atau penjara lapan bulan jika gagal membayarnya, kerana menghasut dua pekerja, Hilbert Versusa Orayle, 43, dan Ron Lester Soriano San Juan, 30, yang masing-masing diperintahkan untuk membayar denda $5,000, atau menjalani hukuman penjara lima bulan kerana memasang pendakap gigi dan memberikan rawatan pendakap gigi kepada pesakit tanpa kebenaran daripada Lembaga Perubatan Brunei.

    Defendan-defendan, yang diwakili peguam Ahmad Basuni Abas, turut bersetuju dengan pihak pendakwaan atas pelbagai kesalahan sama yang telah diambil kira oleh mahkamah.

    Kesalahan itu berlaku sepanjang 2019 dan 2020 di Klinik Pergigian I-Smile di Berakas dan Klinik Pergigian Dr Toyad di Seria.

    Pendakwa Raya Siti Khalilah Hussin mendedahkan bahawa aduan telah mendorong siasatan Lembaga Perubatan Brunei yang mendapati kedua-dua lelaki Filipina itu bukan doktor gigi berdaftar, sebaliknya seorang pembantu pergigian dan ahli terapi yang bekerja di bawah Dr Toyad di dua kliniknya. Siasatan telah dilakukan, diikuti dengan serbuan ke atas dua klinik berkenaan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan pada 4 November 2020.

    Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman, ketika menjatuhkan hukuman, berkata bahawa mahkamah perlu menjalankan kewajipannya untuk melindungi orang awam daripada prosedur pergigian yang disediakan oleh individu tidak berdaftar yang tidak memenuhi syarat bagi terlibat dalam amalan tersebut, yang menimbulkan risiko kepada kesihatan dan keselamatan awam.

    Mahkamah mengambil kira hakikat bahawa tiada kecederaan telah ditimbulkan kepada individu, namun tindak balas mahkamah terhadap pelanggaran terang-terangan tersebut mestilah pantas dan teguh untuk bertindak sebagai amaran kepada pesalah yang berfikiran sama dan menekankan akibat daripada tindakan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda