LONDON, 25 JULAI — Ribuan doktor di England memulakan mogok hari ini selama lima hari sebagai bantahan terhadap isu gaji, sekali gus mencetuskan kebimbangan kerajaan bahawa tindakan itu akan menjejaskan rawatan pesakit di seluruh negara.
Golongan doktor pemastautin yang berada di peringkat awal kerjaya dan menjadi tunjang utama dalam penjagaan hospital serta klinik berhimpun di luar fasiliti kesihatan selepas rundingan dengan kerajaan menemui jalan buntu.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memaklumkan bahawa jabatan kecemasan tetap beroperasi dan hospital akan berusaha meneruskan sebanyak mungkin janji temu yang telah dijadualkan.
Persatuan Perubatan British (BMA) yang mewakili doktor menyatakan tuntutan mereka adalah untuk mendapatkan kenaikan gaji bagi mengimbangi pengurangan nilai sebenar sebanyak 20 peratus sejak 2008.
Pengerusi jawatankuasa doktor residen BMA, Dr Melissa Ryan dan Dr Ross Nieuwoudt, berkata, “hakisan gaji kini telah mencapai tahap di mana pembantu doktor boleh memperoleh sehingga 30 peratus lebih daripada seorang doktor pemastautin.”
Kerajaan mendakwa pihaknya telah memberikan purata kenaikan sebanyak 28.9 peratus kepada doktor dan tidak akan menambah lagi, namun terbuka untuk berbincang mengenai penambahbaikan syarat kerja.
Perdana Menteri Keir Starmer dalam tulisannya di akhbar The Times menyeru para doktor untuk kembali bertugas.
“Kebanyakan rakyat tidak menyokong mogok ini. Mereka tahu ia akan membawa kesan yang sangat besar,” katanya.
“Di sebalik tajuk utama, terdapat pesakit yang terpaksa menangguhkan rawatan penting, menghadapi kelewatan dalam diagnosis, malah berisiko terhadap kesihatan jangka panjang mereka,” tegas Starmer. – AP
