Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor Jepun uji ubat tumbuhkan semula gigi

    TOKYO, 13 DIS – Orang yang kehilangan gigi mungkin berpeluang untuk menumbuhkan gigi yang baharu, kata doktor gigi Jepun yang sedang menguji ubat yang diharap dapat menjadi alternatif kepada gigi palsu dan implan.

    Tidak seperti reptilia dan ikan, yang kebiasaannya menggantikan taringnya secara berkala, namun manusia dan kebanyakan mamalia lain hanya tumbuh dua set gigi.

    Tetapi tersembunyi di bawah gusi kita terdapat tunas dorman untuk set ketiga gigi, menurut Katsu Takahashi, ketua pembedahan mulut di Institut Penyelidikan Perubatan Hospital Kitano di Osaka.

    Pasukannya telah memulakan ujian klinikal di Hospital Universiti Kyoto pada bulan Oktober, memberikan ubat eksperimen kepada subjek ujian dewasa yang dipercayai mempunyai potensi untuk merangsang pertumbuhan gigi tersebut itu.

    Ia adalah teknologi ‘benar-benar baharu’ di dunia, dedah Takahashi kepada AFP.

    Rawatan prostetik yang digunakan untuk gigi yang hilang akibat kerosakan, penyakit atau kecederaan sering dilihat sebagai mahal dan invasif.

    Jadi “memulihkan gigi semula jadi pasti mempunyai kelebihannya”, kata Takahashi, penyelidik utama projek itu.

    Ujian ke atas tikus dan feret menunjukkan bahawa menghalang protein yang dikenali sebagai USAG-1 dapat membangkitkan set ketiga, dan para penyelidik telah menerbitkan foto makmal gigi haiwan yang tumbuh semula.

    Dalam satu kajian yang diterbitkan tahun lepas, pasukan itu berkata bahawa “rawatan antibodi mereka pada tikus berkesan untuk pertumbuhan semula gigi dan boleh menjadi satu kejayaan dalam merawat anomali gigi pada manusia.” – AFP

    Seorang doktor Jepun mengongsikan bahawa di bawah gusi kita terdapat tunas dorman yang boleh menumbuhkan set ketiga gigi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda