Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor, jururawat antara didakwa terlibat kematian 10 anak damit

    ISTANBUL, 18 NOV – Doktor, jururawat, dan pemandu ambulans antara 47 individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan menyebabkan kematian 10 anak damit dalam satu skema yang didakwa bertujuan menipu sistem keselamatan sosial Turkiye.

    Defendan didakwa memindahkan kesemua anak damit tersebut ke unit neonatal di 19 hospital swasta, di mana mereka dibiarkan menjalani rawatan yang berpanjangan dan kadangkala tidak diperlukan. Sekurang-kurangnya 10 anak damit yang lahir dikatakan telah meninggal dunia pada tahun lalu akibat kecuaian atau kesilapan di fasiliti yang tidak bersedia untuk merawat mereka.

    Pendakwa raya dalam perbicaraan yang bermula di Istanbul hari ini menyatakan bahawa defendan juga memalsukan laporan untuk menjadikan keadaan anak damit tersebut kelihatan lebih serius dengan tujuan mendapatkan pembayaran dari institusi keselamatan sosial.

    Defendan utama menafikan sebarang kesalahan, dengan mendakwa mereka membuat keputusan terbaik dan kini berdepan hukuman akibat hasil yang tidak dapat dielakkan.

    Kes tersebut, yang hanya didedahkan bulan lalu, telah mencetuskan kemarahan awam dan seruan supaya pengawasan yang lebih ketat terhadap sistem penjagaan kesihatan. Pihak berkuasa turut membatalkan lesen dan menutup sembilan daripada 19 hospital yang terlibat dalam skandal tersebut.

    Dr Firat Sari, defendan utama yang mengendalikan unit rawatan intensif neonatal di beberapa hospital swasta di Istanbul, berdepan hukuman penjara sehingga 583 tahun.

    Beliau dituduh menubuhkan sebuah organisasi untuk melakukan jenayah, menipu institusi awam, memalsukan dokumen rasmi dan menyebabkan kematian akibat kecuaian. – AP

    Para aktivis semasa melakukan protes di luar mahkamah di Turkiye, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda