Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor kecam ‘pembunuhan terancang’ di pusat agihan

    GENEVA, 8 OGOS – Pertubuhan bantuan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengecam tahap ‘keganasan sistematik terhadap orang awam’ di pusat agihan bantuan yang disokong Israel di Semenanjung Gaza, yang disifatkan sebagai antara paling buruk pernah disaksikan dalam tempoh 54 tahun operasinya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Dalam laporan yang dikeluarkan kelmarin bertajuk, “Ini Bukan Bantuan. Ini Pembunuhan Terancang”, MSF berkata pihaknya merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang cedera ditembak di bahagian dada dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang cedera ditembak di perut, di dua klinik MSF berhampiran kemudahan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF). Kedua-dua mangsa dilaporkan cedera semasa beratur untuk mendapatkan makanan.

    Menurut MSF, mangsa memberikan gambaran mengenai pengalaman di pusat agihan GHF sebagai satu bentuk layanan tidak berperikemanusiaan dan keganasan yang disasarkan, tidak mengenal mangsa, dan ‘amat membimbangkan’.

    Antara 7 Jun hingga 24 Julai, seramai 1,380 mangsa dibawa ke dua klinik MSF, termasuk 28 yang sudah meninggal dunia. Dalam kalangan yang cedera, 71 adalah mereka di bawah umur, termasuk 25 berusia bawah 15 tahun. Kesemua mereka datang dari pusat agihan GHF yang sering menjadi lokasi kejadian tembakan.

    Dalam tempoh 27 Julai hingga 3 Ogos pula, lebih 185 mangsa cedera dihantar ke klinik MSF dari kawasan berhampiran pusat GHF, termasuk mangsa yang mengalami luka tembakan di leher dan kepala.

    MSF turut menggesa agar agihan bantuan oleh GHF dihentikan segera.

    Menurut laporan itu, pasukan MSF bersedia dari segi mental untuk beroperasi dalam konflik, tetapi tidak untuk menyaksikan orang awam yang tidak bersenjata terbunuh atau cedera parah ketika cuba mendapatkan bantuan.

    “Sepanjang hampir 54 tahun operasi MSF, jarang sekali kami menyaksikan tahap keganasan sistematik seperti ini terhadap orang awam tidak bersenjata,” kata Ketua Pengarah MSF, Raquel Ayora.

    Terdahulu, MSF pernah menempelak kegagalan Kesatuan Eropah (EU) bertindak tegas menghentikan ’pembersihan etnik terancang’ dan mendakwa EU turut bersubahat dalam kegiatan berkenaan. – BERNAMA-dpa

    Seorang kanak-kanak Palestin dirawat di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, Gaza kelmarin. MSF kecam ‘pembunuhan terancang’ oleh Israel. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda