Doktor keluarkan bom tersekat dalam rektum

LONDON, 5 DIS – Kakitangan hospital di Britain bertindak cepat selepas seorang lelaki tiba di wad kecemasan mereka dengan bom era Perang Dunia Kedua tersekat dalam rektumnya.

Polis dan pakar tentera dipanggil tetapi pakar perubatan berjaya mengeluarkan objek tersebut dengan selamat sebelum mereka tiba, kata polis di Gloucestershire, barat England.

“Polis bergegas ke Hospital Diraja Gloucestershire selepas menerima laporan seorang pesakit telah dimasukkan ke hospital dengan bom dalam rektumnya,” kata polis dalam satu kenyataan.

“Senjata itu sempat dikeluarkan sebelum polis tiba dan Pasukan Pemusnah Bom dihubungi.

“Mereka mengesahkan ia bukan bom hidup dan tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan orang awam.”

Akhbar The Sun, yang melaporkan insiden itu, berkata seorang pesakit memberitahu doktor dia ‘tergelincir dan terjatuh’ di atas peranti itu.

Lelaki itu sedang membersihkan koleksi senjata peribadinya apabila kejadian berlaku.

Sumber pertahanan memberitahu The Sun, bom berukuran 17sm dan 6sm itu merupakan ‘ketulan plumbum tebal dan tajam bertujuan meletupkan kereta kebal.’ – AFP