Friday, July 25, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor Malaysia bantu kanak-kanak Kemboja tersenyum bangga

    PHNOM PENH, 23 JULAI – Smile Cambodia, yang diterajui doktor Malaysia, sedang mengubah kehidupan kanak-kanak yang menderita kecacatan muka dan membawa harapan baharu kepada komuniti terpencil yang kekurangan rawatan profesional.

    Pertubuhan amal bebas yang sebahagian besarnya bergantung kepada doktor sukarelawan, baik asing mahupun tempatan, berjaya menjalankan pembedahan rumit ke atas kanak-kanak yang mengalami anomali bibir rekah dan lelangit rekah hujung minggu lalu.

    Misi terbaharu itu diadakan di Pusat Smile di Hospital Persahabatan Khmer-Soviet di Phnom Penh, apabila tiga pakar Malaysia menyertai pembedahan rekonstruktif, bersama pakar Kemboja.

    Seramai 60 pesakit telah disaring di pusat tersebut dari 17 hingga 19 Julai.

    “Misi pembedahan terbaharu ini adalah yang keempat kami tahun ini. Kami menyasarkan untuk merawat 30 pesakit sepanjang misi pembedahan dua hari itu. Kami merawat 44 pesakit, termasuk banyak kes sukar.

    “Ramai ibu bapa pesakit sumbing menyatakan kegembiraan dan kesyukuran mereka ketika meninggalkan hospital. Misi pembedahan kami berjaya,” kata Naib Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Smile Cambodia, Chan Kok Choy kepada Bernama.

    Pertubuhan itu, yang diterajui oleh Chan, bekas pegawai bank Malaysia yang kini bergelar pekerja sosial berpangkalan di Kemboja, membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang menderita kecacatan muka, melegakan penderitaan ibu bapa mereka dan memperkenalkan pembedahan perubatan canggih kepada komuniti luar bandar.

    “Kami berterima kasih kepada sukarelawan perubatan Malaysia dan Kemboja atas profesionalisme, komitmen, kerja keras, dan dedikasi mereka untuk merawat setiap pesakit dengan teliti.

    “Selain menyediakan pembedahan untuk pesakit sumbing bibir dan lelangit serta kecacatan muka lain, kami bercadang untuk menawarkan rawatan pergigian, terapi pertuturan dan merawat pesakit terbakar dalam misi akan datang, membantu mereka menjalani kehidupan normal dan lebih baik,” kata Chan. – Bernama

    Smile Cambodia menawarkan pembedahan pembetulan percuma kebanyakannya kepada kanak-kanak luar bandar. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda