Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor muda England lancar mogok gaji

    LONDON, 20 DIS – Doktor-doktor pada peringkat awal kerjaya mereka di England memulakan mogok 72 jam hari ini dalam pertikaian mereka yang berlarutan dengan kerajaan Britain mengenai jumlah gaji.

    Pesakit-pesakit di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) milik kerajaan Britain telah diberi amaran bahawa akan timbulnya ‘gangguan signifikan’, dengan beribu-ribu temu janji dan prosedur ditangguhkan atau dibatalkan.

    Mogok bermula pada pukul 7 pagi dan akan berlarutan sehingga pagi Sabtu.

    Puluhan ribu doktor muda, yang membentuk kira-kira separuh daripada tenaga kerja perubatan di NHS, juga akan melancarkan mogok selama enam hari pada awal tahun depan, mogok terpanjang dalam sejarah perkhidmatan kesihatan selama 75 tahun.

    Mereka menuntut kenaikan gaji sebanyak 35 peratus, satu angka yang menurut mereka mengambil kira kadar kenaikan inflasi bertahun-tahun dan akan menghalang penghijrahan kakitangan ke negara lain.

    Walau bagaimanapun, kerajaan menawarkan kenaikan purata 8.8 peratus kepada doktor muda dan Perdana Menteri, Rishi Sunak telah menyatakan bahawa tidak akan ada lagi tawaran seterusnya.

    “Saya jelas mengakui bahawa orang ramai kecewa mengenai kehilangan temu janji elektif dan temu janji pesakit luar. Tetapi jika kita tidak bertindak sekarang, maka lima atau 10 tahun ke depan tidak akan ada doktor yang tinggal dan temu janji itu akan menjadi lebih teruk dan lebih lama daripada sekarang,” kata Hamish Bain, 30, yang menyertai mogok tersebut di Hospital Kolej Universiti di London. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda