NEW DELHI, 9 APRIL – Polis India menahan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai pakar kardiologi dari London, United Kingdom, selang beberapa hari selepas siasatan terhadap kematian tujuh pesakit dilakukan.
Penguasa polis, Shrutkirti Somvanshi berkata suspek dikenali sebagai Narendra John Camm, dilaporkan berkhidmat di Hospital Mission di Madhya Pradesh.
“Dia sudah ditahan selepas disyaki menipu dan melakukan penipuan. Dokumennya didapati palsu,” katanya.
Suspek ditahan beberapa hari selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan melancarkan siasatan ke atas kematian tujuh pesakit di Hospital Mission, tahun ini.
Semua pesakit yang maut itu dilaporkan menjalani pembedahan angioplasti iaitu prosedur pembinaan semula salur darah berpenyakit atau rosak secara pembedahan plastik yang dilakukan oleh suspek.

Sementara itu, media tempatan melaporkan suspek dikatakan menyamar identiti pakar kardiologi di Britain yang juga Prof Emeritus Kardiologi Klinikal di Universiti St George, London, John Camm.
Bagaimanapun tiada bukti salah laku dikaitkan dengan Camm yang berpangkalan di Britain.
Camm berkata suspek mendakwa dirinya adalah beliau dan pernah dilatih oleh pakar kardiologi itu di Hospital St George di London.
“Saya dan rakan sekerja sudah melakukan usaha berulang kali bagi menghalang penipu terbabit, sejak lima tahun lalu.
“Tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan, tetapi rakan sekerja yang lebih muda, aktif di media sosial dan Internet, melakukan usaha terbaik.
“Doktor dan pakar kardiologi India segera menyedari lelaki ini tiada kaitan dengan saya dan berusaha untuk ‘menutup kliniknya’.
“Berita penahanan ini membimbangkan saya, terutama bagi keluarga pesakit yang terkesan,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri, Madhya Pradesh, pula berkata tindakan keras akan diambil terhadap suspek, jika didapati bersalah.
Skandal itu timbul selepas keluarga seorang pesakit yang maut membuat aduan, berikutan doktor yang merawat pesakit terbabit hilang tanpa dikesan. – AFP