Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor pelatih Korea Selatan berhenti kerja, bantah pembaharuan perubatan

    SEOUL, 20 FEB – Hospital Korea Selatan menolak beberapa pesakit dan menangguhkan pembedahan pada hari ini apabila beratus-ratus doktor pelatih berhenti bekerja dalam protes terhadap pembaharuan latihan perubatan.

    Hampir 6,500 doktor menyerahkan peletakan jawatan mereka – hampir separuh daripadanya tenaga kerja junior – dengan 1,600 berhenti kerja, menurut angka kementerian kesihatan.

    Tetapi Presiden Korea Selata,n Yoon Suk Yeol berkata kerajaan tidak akan berundur terhadap reformasi yang ‘perlu’, yang disifatkannya sebagai langkah penting untuk mempersiapkan diri bagi menjaga penduduk negara itu yang cepat menua.

    Pembaharuan latihan memerlukan peningkatan 65 peratus dalam bilangan pelajar yang diterima masuk ke sekolah perubatan – tambahan 2,000 orang setahun – bermula dari tahun 2025.

    Seoul telah cuba meningkatkan pendaftaran sekolah perubatan selama 30 tahun tetapi tidak berjaya, katanya, sambil menambah bahawa negara itu berada pada tahap di mana “kita tidak dapat menahan kegagalan lain.”

    “Peningkatan ini adalah jauh daripada jumlah yang diperlukan untuk menyediakan masa depan negara kita,” katanya sambil menggesa doktor supaya tidak ‘menggadai nyawa dan kesihatan orang ramai’ dengan pemberhentian kerja.

    Kerajaan telah mengarahkan doktor kembali bekerja, dan polis telah memberi amaran tentang penahanan bagi penghasut pemberhentian kerja. Undang-undang Korea Selatan mengehadkan keupayaan kakitangan perubatan untuk mogok.

    Naib Menteri Kesihatan Kedua, Park Min-soo memberitahu pemberita bahawa pemberhentian itu telah mengakibatkan pembatalan pembedahan dan gangguan dalam perkhidmatan perubatan.

    Keutamaan utama kerajaan adalah untuk “mengekalkan perkhidmatan kecemasan perubatan dan rawatan untuk kes serius di hospital utama,” katanya, untuk “mengelakkan situasi di mana pesakit dengan keadaan serius dihalang daripada mendapatkan rawatan.”

    Pusat Perubatan Asan di Seoul, salah satu hospital am terbesar di negara itu, memberitahu AFP bahawa bilik kecemasannya beroperasi seperti biasa pada hari ini tetapi ‘beberapa pelarasan’ sedang dibuat.

    “Beberapa pembedahan telah ditangguhkan kerana keadaan yang berterusan,” kata sayap PR hospital itu. – AFP

    Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol (tengah) bercakap semasa mesyuarat kabinet di pejabat presiden di Seoul pada hari ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda