Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor rugi RM100,000 diperdaya sindiket Macau Scam

    KUANTAN, 18 JUN – Panik dimaklumkan disenaraikan sebagai ‘orang dikehendaki polis’ menyebabkan seorang doktor wanita kerugian RM100,000, selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 28 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada Jumaat lepas daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

    “Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum panggilan disambungkan ke seorang lagi suspek, kononnya pegawai polis yang mengesahkan mangsa akan disenarai hitam kerana berada dalam rekod dikehendaki. 

    “Mangsa mendakwa ‘polis’ itu mengarahkannya membuka akaun bank baharu dan memasukkan wang RM100,000 ke dalamnya serta diarahkan berkongsi maklumat perbankan tersebut kononnya bagi mengeluarkan diri daripada senarai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Yahaya berkata mangsa yang mendakwa dirinya panik juga menuruti arahan supaya mengambil swafoto dan berkongsi gambar berkenaan dengan suspek selang beberapa jam. 

    Mangsa bagaimanapun curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi mendapatkan perkembangan status ‘orang dikehendaki’ itu, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam. – Bernama

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda