Doktor sambut kelahiran anak damit dalam bot

KAPIT, 29 JULAI – Seorang pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Punan Ba di Ulu Merit, di sini berjaya menyambut kelahiran seorang anak damit perempuan seberat 2.05 kilogram ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit dengan menaiki bot ekspres pagi tadi.

Dr Dustan Empawi yang baru tiga bulan bertugas di klinik kesihatan tersebut berkata ia merupakan pengalaman pertama beliau menyambut kelahiran anak dan mujur ditemani seorang Jururawat Masyarakat ketika mengiringi ibu anak berkenaan ke Kapit, yang terletak 60km dari klinik itu.

Beliau berkata ibu berusia 29 tahun yang hamil 35 minggu itu kesakitan perut selepas menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Punan Ba, kira-kira 8 pagi.

“Saya terus merujuk ke Hospital Kapit kerana ibu tersebut dalam fasa kelahiran. Ibu itu telah dirujuk kepada doktor pakar obstetrik dan kecemasan memandangkan anak dalam kandungannya peringkat pramatang,” katanya yang dihubungi pemberita hari ini.

Wanita dari Rumah Asing, Belaga itu melahirkan anak ketiganya ketika bot ekspres berkenaan sedang melalui Wong Pelagus, jeram berbahaya di Sarawak yang telah meragut banyak nyawa pada masa lalu. “Dalam perjalanan, ibu itu mengadu kesakitan dan ingin meneran. Kebetulan kami juga melalui Wong Pelagus.

Kami bertindak pantas dan selamat menyambut kelahiran anak damit itu pada 11.50 pagi,” katanya. – Bernama

Dr Dunstan Empawi dari Klinik Kesihatan Punan Ba di Ulu Merit mendukung anak damit perempuan seberat 2.05 kilogram yang berjaya disambut kelahirannya di dalam sebuah bot ekspres ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit. – Bernama