Wednesday, January 8, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doktor temui cacing hidup dalam otak wanita

    SYDNEY, 29 OGOS – Seekor cacing parasit yang biasanya ditemui dalam ular telah dikeluarkan ‘hidup-hidup dan menggeliat’ dari otak seorang wanita dalam satu kes pertama di dunia, kata doktor Australia hari ini.

    Doktor-doktor yang terkejut menjalankan imbasan MRI ke atas wanita Australia berusia 64 tahun itu selepas dia mula mengalami masalah ingatan dan mereka menyedari kelainan pada lobus hadapan kanan otaknya.

    Ia kemudian dikenal pasti sebagai seekor cacing gelang sepanjang 8cm digelar Ophidascaris robertsi, yang penyelidik-penyelidik katakan sebagai parasit biasa ditemui dalam kanggaru dan ular sawa – namun bukan terhadap manusia.

    “Ini adalah pertama kali kes Ophidascaris berlaku ke atas manusia di dunia,” kata pakar penyakit berjangkit, Sanjaya Senanayake.

    “Berdasarkan pengetahuan kami, ini juga kes pertama yang melibatkan otak dalam mana-mana spesies mamalia, sama ada manusia atau yang lain.”

    Para penyelidik percaya wanita itu dijangkiti selepas dia mencari pokok renek yang boleh dimakan dekat rumahnya, yang mungkin mengandungi larva parasit dalam najis ular sawa.

    Parasit tersebut yang kelihatan seperti ‘struktur seperti tali’ dalam imbasan otak, kemudian dikenal pasti melalui ujian DNA.

    “Saya tidak dapat mengungkapkan betapa kami kagum kepada wanita ini, yang telah menunjukkan kesabaran dan keberanian melalui proses ini.”

    Senanayake berkata cacing gelang Ophidascaris diketahui menjangkiti haiwan di negara lain dan ‘kemungkinan kes-kes lain akan dikenal pasti dalam tahun-tahun akan datang’.

    Hasil penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal Emerging Infectious Diseases. – AFP

    Cacing parasit dalam botol spesimen di hospital Canberra, Australia. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda