SYDNEY, 24 SEPT – Bagaimana awda membantu seseorang yang luka digigit jerung? Penyelidikan oleh seorang ahli medik-luncur Australia berjaya menemui cara mudah untuk menghentikan pendarahan dan menyelamatkan nyawa.
Caranya ialah cari poin pertengahan antara pinggul dan salur genital, menggunakan penumbuk, tekan sekuat yang mungkin.
Ini kerana kebanyakan gigitan maut jerung berlaku di kaki, mengakibatkan mangsa boleh mati akibat pendarahan meskipun berjaya berenang ke pantai.
Maka peluncur yang juga dekan fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Australia, Nicolas Taylor berusaha mencari jalan untuk mengurangkan kadar kematian akibat serangan jerung yang jarang berlaku, tetapi semakin meningkat di Australia.
Dalam kajian diterbitkan Emergency Medicine Australasia, Taylor menemui teknik mudah menekan arteri femur yang lebih berkesan menghentikan pendarahan berbanding teknik tradisional yang sering digunakan, tourniquet.
Kajiannya menunjukkan bahawa dengan menggengam tangan seperti penumbuk dan menekan arteri, sekitar 89.7 peratus aliran darah akan berhenti, berbanding 43.8 peratus menggunakan tali papan luncur sebagai pengganti teknik tourniquet.
“Teknik itu sesuai untuk pesakit memakai sut renang dan tanpanya,” katanya.
“Ia mudah diingati – hanya tekan antara pinggul menggunakan penumbuk dan awda boleh menyelamatkan nyawa,” tambahnya. – AFP