Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seorang kakitangan kerajaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun di mahkamah kelmarin, kerana menggunakan dokumen palsu dan menipu sebuah syarikat.
Mohd Salihin bin Abdullah Gampar, 53, mula-mula menafikan pertuduhan itu tetapi didapati bersalah dan disabitkan selepas perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Qamarul Afyian bin Abdul Rahman memanggil sembilan orang saksi dan mengemukakan 30 bukti dokumen untuk membuktikan kes pendakwaan di luar keraguan munasabah mahkamah.
Defendan, yang diwakili Peguam Bela Ahmad Basuni Abbas dari Tetuan Abrahams Davidson and Co, menafikan pertuduhan sepanjang perbicaraan dan menyatakan bahawa dia tidak mengetahui sebarang urusan dengan syarikat itu.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Perantaraan Harnita Zelda Skinner tidak mempercayai defendan dan mendapati dia tidak boleh dipercayai dan keterangannya dalam pembelaannya adalah tidak benar.

Dapatan mahkamah termasuklah fakta bahawa defendan menyedari dokumen yang digunakannya adalah palsu, dan sebagai ketua yang bertanggungjawab bagi Unit Stor Jabatan Kerja Raya (JKR) di keempat-empat daerah adalah sukar untuk mempercayai bahawa dia tidak mengetahui sebarang urusan sebelum ini.
“Defendan telah menyuruh (syarikat) untuk meneruskan tempahan itu untuk memperdayanya bahawa JKR memerlukannya,” menurut mahkamah.
Pertuduhan pertama menyatakan defendan telah menggunakan 10 dokumen pada 10 Februari 2016 di bawah JKR yang telah dipalsukan sebagai ‘Surat Setuju Terima Sebut Harga’. Dalam pertuduhan kedua, pada tarikh yang sama, defendan menipu sebuah syarikat dengan mengeluarkan surat untuk mengatakan bahawa tawaran syarikat untuk membekalkan kartrij toner pencetak telah diterima oleh jabatan itu.

