Kumpulan Dolla berjaya mempamerkan aksi luar biasa menerusi konsert sulung mereka, Re: Birth The Experience yang berlangsung di Zepp, kelmarin, lapor mStar.
Anggotanya, Angel, Sabronzo dan Tabby dilihat cukup lincah dan bertenaga menyanyi serta tampilkan koreografi tarian yang padu. Mereka sungguh terharu impian adakan konsert akhirnya jadi kenyataan.
“Kami tak sangka akhirnya dapat juga tunaikan impian ini. Kami tahu ramai yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia. Kami sayang kamu semua.
“Mendengar dedikasi peminat, ini adalah hadiah buat semua,” kata Tabby yang terharu dengan sokongan peminat, iDollas.
Membuka tirai persembahan sekitar jam 8:30 malam, Dolla terus memanaskan pentas sambil diiringi sorakan penuh gempita. Pentas turut meriah dengan sekumpulan penari pengiring.
Konsert berkenaan juga tidak sunyi setiap kali selingan. Beberapa video di sebalik tabir turut dipertontonkan dan perjalanan menuju konsert mereka cukup menyentuh hati ramai.
Paling membuatkan Dolla terharu apabila video khas ucapan sahabat dan peminat dipasang sebagai kejutan. Sabronzo kelihatan menitiskan air mata selepas menyaksikannya.
Diiringi kugiran dengan susunan muzik padu, Dolla menyanyikan semua lagu hit termasuk Bad, Fight, DMYW, Drip, Best Side, LAT, Damelo, Masa, Impikan, Sudi, Berani, Classic, Bo$$ Up, dan Here 4U. – Agensi
