Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dominic Leblanc dilantik Menteri Kewangan baharu Kanada

    HAMILTON, 17 DIS – Menteri Keselamatan Awam Kanada, Dominic LeBlanc dilantik sebagai Menteri Kewangan baharu negara itu kelmarin, menggantikan Chrystia Freeland yang mengumumkan peletakan jawatannya pada hari yang sama.

    Dikenali sebagai sekutu lama Perdana Menteri Justin Trudeau, LeBlanc semasa bercakap kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah di Ottawa berkata kos sara hidup dan pengurusan kewangan awam akan menjadi keutamaan beliau, lapor agensi Anadolu.

    “Keluarga Kanada dan rakyat Kanada di seluruh negara merasai tekanan akibat kenaikan kos sara hidup. Mereka mahu kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu-isu ini dan itu akan menjadi tumpuan utama saya sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

    LeBlanc juga berikrar untuk menangani ‘ancaman kemungkinan tarif ke atas eksport Kanada ke Amerika Syarikat (AS).’

    Terdahulu, Freeland mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet, menyifatkan ia sebagai ‘satu-satunya jalan yang jujur dan berdaya maju.’

    “Ia adalah penghormatan dalam hidup saya untuk berkhidmat dalam kerajaan, bekerja untuk Kanada dan rakyat Kanada. Kami telah mencapai banyak perkara bersama. Pada Jumaat, awda memberitahu saya bahawa awda tidak lagi mahu saya berkhidmat sebagai menteri kewangan awda dan menawarkan saya jawatan lain dalam Kabinet,” kata Freeland dalam surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Trudeau.

    Beliau yang berkongsi surat itu di akaun X miliknya berkata, “Setelah difikirkan, saya telah membuat kesimpulan bahawa satu-satunya jalan yang jujur dan berdaya maju adalah
    untuk saya meletakkan jawatan daripada Kabinet.”

    Peletakan jawatan Freeland berlaku di tengah-tengah ketegangan politik berhubung dasar fiskal kerajaan dan tindak balas Kanada terhadap tekanan ekonomi AS. – Bernama

    Perdana Menteri, Justin Trudeau (kanan) mengucapkan tahniah kepada Dominic LeBlanc (kiri) selepas LeBlanc mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan pada 16 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda