Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Doncic, James pimpin Lakers atasi Knicks

    LOS ANGELES, 7 MAC – Luka Doncic dan LeBron James bergabung untuk menjaringkan 63 mata ketika Los Angeles Lakers mencatat kebangkitan dramatik untuk meraih kemenangan 113-109 dalam masa tambahan ke atas New York Knicks semalam.

    Lakers yang sedang berada dalam prestasi terbaik mereka meneruskan rentetan kemenangan kepada lapan perlawanan dalam pertarungan sengit di Crypto.com Arena, ketika Doncic menamatkan perlawanan dengan 32 mata, sementara James menjaringkan 31 mata.

    Kedua-dua bintang tersebut memainkan peranan penting dalam membawa Lakers kembali ke dalam perlawanan selepas Knicks mendahului dengan 10 mata di pertengahan suku keempat.

    Sementara itu, Knicks terpaksa menerima hakikat bahawa kemenangan yang hampir dalam genggaman terlepas begitu sahaja, walaupun Jalen Brunson tampil dengan persembahan cemerlang, menjaringkan 39 mata – angka tertinggi dalam perlawanan itu.

    Kesengsaraan Knicks semakin bertambah apabila Brunson mengalami kecederaan dalam masa tambahan, selepas pemain itu terjatuh dan terseliuh pergelangan kaki kanannya dalam pertembungan dengan pemain Lakers, Austin Reaves.

    Aksi LeBron James membuat lontaran semasa separuh pertama perlawanan bola keranjang NBA semalam, di Los Angeles. – AP

    “Kami meningkatkan tahap fizikal permainan kami di suku keempat,” kata Doncic yang kelihatan keletihan selepas perlawanan. “Apabila kami mula mendapatkan rentak, kami bermain dengan lebih baik.”

    “Mereka adalah pasukan yang hebat dengan pemain-pemain berbakat, jadi ini adalah kemenangan yang sukar. Sekarang kami sudah menang lapan perlawanan berturut-turut dan setiap perlawanan adalah pertarungan buat kami.”

    Lakers kelihatan bergelut selepas ketinggalan hampir sepanjang perlawanan menentang Knicks yang beraksi penuh semangat, malah pernah mendahului sejauh 13 mata pada satu ketika.

    Namun, selepas bergelut dengan ketepatan percubaan sepanjang perlawanan, Lakers mula menemui sasaran mereka di suku keempat.

    James menjaringkan dua lontaran tiga mata yang penting, manakala Gabe Vincent turut menyumbang tiga lontaran tiga mata untuk mencetuskan kebangkitan pasukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda