LOS ANGELES, 20 MAC – Luka Doncic mencatatkan permainan ke-200 dengan 30 mata dalam kerjayanya apabila Los Angeles Lakers mengambil kesempatan atas kelemahan pasukan Denver Nuggets untuk merebut kemenangan 120-108 ke atas pesaing mereka di Western Conference kelmarin.
Bintang Slovenia, Doncic sekali lagi mengetuai serangan Lakers semasa ketiadaan LeBron James yang cedera, menyumbang 31 mata, sembilan rebound dan tujuh assist sementara Lakers meraih kemenangan dari awal hingga akhir.
Nuggets, tanpa Nikola Jokic dan Jamal Murray, tidak pernah dalam persaingan selepas Doncic mencatatkan 21 mata hanya dalam suku pertama ketika Lakers mendahului 46-29 pada awal permainan.
Lakers kekal dengan kelebihan dua digit untuk sebahagian besar masa permainan, dengan Austin Reaves menambah 22 mata.
Lakers menambah rekod mereka kepada 43-25, melonjak ke tempat ketiga dalam kedudukan Western Conference, mengatasi Denver (44-26).

Doncic, yang menyertai Lakers pada Februari melalui pertukaran mengejut dari Dallas, kini telah menjaringkan 30 mata atau lebih dalam lapan daripada 16 perlawanan bersama Lakers selepas perpindahannya yang besar.
“Seperti yang saya selalu katakan, setiap hari semakin baik,” kata Doncic kepada ESPN selepas kemenangan itu.
“Itu kemenangan tiga berturut-turut, jadi kita perlu teruskan.
“Kami bermain mengikut perlawanan kerana jika awda terlalu fokus pada masa depan, mungkin awda terlupa tentang perlawanan seterusnya. Kami tahu kedudukan (keputusan) agak rapat, tetapi kami hanya perlu cuba menang setiap perlawanan.”
Kemenangan Lakers itu mengesahkan bahawa Oklahoma City Thunder perlu menunggu lebih lama sebelum meraih tempat pertama dalam Western Conference. – AFP