Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dong Giao: Kayu jadi karya seni turun temurun

    HANOI – Suasana biasa di perkampungan ukiran kayu Dong Giao, yang terletak di daerah Cam Giang, bandar Hai Phong, dipenuhi dengan bunyi ketukan, gergaji dan ukiran yang bergema di seluruh kampung.

    Di pintu masuk kampung, pengunjung mungkin dapat melihat seorang tukang ukir, Vu Xuan En sedang tekun bekerja pada sebatang akar pokok besar.

    Dia sedang menghasilkan sebuah arca gergasi yang menggambarkan ratusan tokoh terkenal dalam sejarah Vietnam.

    Akar tersebut sendiri cukup mengagumkan: selebar enam meter, setinggi 3.3 meter dan seberat sekitar lima tan.

    Karya itu dijangka siap menjelang akhir tahun depan.

    Vu Xuan En mengusahakan sebuah karya agung yang memaparkan tokoh-tokoh sejarah Vietnam pada akar pokok gergasi. – ANN/ Vietnam News
    En bersama arca mendiang Setiausaha Agung Parti, Nguyen Phu Trong. – ANN/ Vietnam News NEWS
    Batang pokok besar dari Afrika Selatan menjadi bahan utama bagi arca-arca berskala besar. – ANN/ Vietnam News
    Hanya segelintir wanita yang menceburi bidang ini, yang memerlukan ketekunan dan minat yang mendalam. – ANN/ Viet Nam News
    Gambar ANN/ Viet Nam News

    “Saya sangat bersungguh-sunggung dengan hasil kerja ini. Abang saya amat meminati sejarah Vietnam, jadi kami bersama-sama memutuskan untuk mencipta arca ini, ‘4,000 Tahun Sejarah Vietnam’, daripada satu akar pokok.

    Kami mahu karya itu bukan sahaja indah tetapi juga penuh makna,” kata En.

    En merupakan salah seorang artisan paling dihormati di kampung itu, setelah mewarisi kemahiran ini secara turun-temurun dalam keluarganya.

    “Untuk menguasai seni ini, awda perlukan semangat yang tinggi dan bakat semula jadi,” jelasnya.

    “Itulah satu-satunya cara untuk menjadi tukang ukir yang benar-benar mahir.”

    Setelah 37 tahun dalam bidang ini, En telah menguasai setiap aspek kerja ukiran. Namun menurutnya, bahagian paling mencabar ialah mengukir figura manusia, kerana setiap perincian mesti tepat agar orang dapat mengenali siapa yang diukir itu.

    Dia turut dapat menjana pendapatan yang baik hasil daripada kemahiran mengukir kayu ini.

    SEMANGAT MENDALAM

    Seperti En, ramai tukang ukir di Dong Giao kekal setia dengan seni ini selama berdekad-dekad.

    “Kerja ini menuntut kesabaran, semangat belajar dan minat yang tulus,” kata pengukir kayu Vu Van Tao, 27, yang sudah mempunyai 12 tahun pengalaman. “Kalau hanya kejar wang, ia tidak akan berhasil.”

    Tao menambah bahawa golongan muda sepertinya membawa kreativiti baharu.

    “Dengan media sosial, banyak yang boleh dipelajari, termasuk teknik dari
    China yang kami sesuaikan dan perbaiki,” katanya.

    “Kami sentiasa menambah baik perincian ekspresi wajah, garisan ukiran dan lama-kelamaan, hasil kerja kami menjadi lebih cantik dan unik.”

    Nguyen Thi Hoa, salah seorang wanita yang menceburi bidang itu, berkata cintanya terhadap seni membuatkannya terus bertahan walaupun kerja ini meletihkan.

    “Saya sangat menyukai kerja ini, saya tidak mampu untuk tinggalkannya,” katanya.

    Hoa telah mengukir selama hampir 20 tahun dan melihat semakin ramai golongan muda menyertai bidang tersebut.

    “Sebab itu saya terus belajar daripada mereka yang lebih mahir daripada saya, sentiasa mencari idea baharu untuk menambah baik produk dan meningkatkan kualiti serta nilainya,” jelasnya.

    Bagi pengukir kayu berusia 60 tahun, Vu Van Nang, ajaran Presiden Ho Chi Minh masih relevan hingga kini.

    “Presiden Ho pernah berkata, ‘Belajarlah, terus belajar, belajar selama-lamanya,’” kenangnya.

    “Sebagai tukang ukir, kita mesti melakukan perkara yang sama terus belajar tanpa
    henti, hanya berhenti bila fikiran tidak lagi mampu.”

    Nang berkata dia meminati seni ini sejak kecil dan semua orang di sini berdedikasi untuk memelihara serta memperkukuhnya dari masa ke masa.

    Perkampungan Dong Giao mempunyai lebih 1,000 isi rumah, dengan 95 peratus masih mengamalkan tradisi ukiran kayu yang telah wujud sejak berabad-abad.

    “Pihak berkuasa tempatan sangat menyokong komuniti itu, antaranya dengan menyediakan akses kepada program pinjaman, khususnya pinjaman sokongan pekerjaan melalui bank polisi, bagi membantu penduduk kampung mengekalkan dan mengembangkan perniagaan ukiran kayu mereka,” kata ketua kampung Vu Duc Thinh.

    Tambahnya, “Kami juga melatih pelatih dari daerah lain, mengongsikan kemahiran supaya mereka dapat menyumbang kepada masa depan kampung kraf ini.”

    TRADISI LAMA

    Seni ukiran kayu di Dong Giao telah wujud selama lebih 300 tahun. Dahulu, tukang ukir Dong Giao terkenal dengan penghasilan barangan sembahan seperti meja altar, pintu kuil, panel mendatar dan pasangan tulisan (couplet).

    Hasil produk-produk itu sangat dihargai oleh masyarakat sekitar wilayah dan bandar yang berhampiran.

    Selain itu, kemahiran tinggi para tukang Dong Giao turut meninggalkan kesan pada banyak karya seni bina terkenal di seluruh negara. Hingga ke hari ini, penduduk Dong Giao masih berbangga dengan sumbangan artisan mereka dalam membina Kota Diraja Purba Hue.

    Menurut legenda kampung, semasa pemerintahan Raja Le Canh Hung (1740–1786), para tukang dari Dong Giao yang diwakili oleh Vu Xuan Ngon telah berada di Hue untuk menyertai projek pembinaan kerajaan feudal.

    Sehingga kini, di Hue, masih wujud sebuah kampung artisan Dong Giao yang dikenali sebagai Dong Tien, yang terus memelihara seni warisan ini turun-temurun.

    Para tukang Dong Giao dikenali kerana kepakaran, kepintaran dan kerajinan mereka.

    Seiring waktu, mereka terus berinovasi, memperbaiki reka bentuk dan meningkatkan kemahiran. Mereka juga telah menggunakan kemajuan saintifik dan teknikal dalam pengeluaran, mencipta pelbagai produk ukiran kayu yang sangat kaya dan pelbagai untuk pasaran dalam dan luar negara, termasuk ke China. – ANN/ Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda